Tuesday, January 13, 2015

Pengaruh Bugis dan Pengasasan Kesultanan Selangor


Pengaruh Bugis dan Pengasasan Kesultanan Selangor 
MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI
Universiti Malaya

Pengaruh Bugis di Selangor
Pada kurun yang ke-17, orang-orang Bugis dari Tanah Bugis (Sulawesi), didapati sudah lama bermaustatin di negeri Selangor. Pada bulan  Januari tahun 1682 adik Sultan Kedah meminta kebenaran Belanda untuk meminta bantuan orang-orang Bugis  untuk melawan abangnya Sultan Kedah dan telah menyatakan dua buah kapal dan tiga ratus orang Bugis dari Selangor membantunya . Dalam keterangan tersebut nyatalah menunjukkan pada kurun yang ke-17 orang Bugis telah ramai mendiami negeri Selangor.

Pada awal kurun masihi yang ke -18, Opu Daing lima bersaudara telah pergi mengembara ke merata tempat, dan telah sampai ke perairan Kerajaan Johor-Riau. Lima bersaudara ini ialah Daing Perani,Daing Menambun, Daing Merewah, Daing Chelak dan Daing Kemasi .Kesemuanya adalah putera Raja Bugis yang bernama Daing Rilakkek.[1]

Pada tahun 1728, Daing Merewah Kelana Jaya Putera yang  memegang jawatan sebagai Yamtuan Muda Johor I dari Riau telah datang  ke Selangor bersama orang Bugis bagi membantu adik Sultan Perak di Bernam untuk menyerang abangnya Sultan Perak iaitu Sultan Alauddin Mughayat Shah pada masa itu Sultan Perak ke-12. Kemudiannya,Daing Marewah balik semula ke Selangor dan terus pulang ke Riau. Daing Meraweh telah mangkat di Riau dan digantikan oleh adiknya Daing Chelak sebagai Yamtuan Muda Johor-Riau II.[2]

Pada tahun 1740, Daing Chelak bersama-sama angkatan tentera dari Riau datang ke Selangor dan berperang dengan angkatan Daing Mateko yang dikatakan membuat kekacauan di Selangor. Akhirnya Daing Mateko mengalami kekalahan dan lari ke Siak dan sejak itu Daing Chelak kerap berulang-alik dari Riau ke Selangor.

Pada tahun 1742, Daing Chelak datang ke Selangor dan membawa orang-orang Bugis dari Selangor pergi menyerang negeri Perak yang pada masa itu di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III. Pada masa itu, Yang Dipertuan Muda Perak berselisih faham dengan abangnya Sultan Perak. Orang-orang besar Perak menyebelahi Yang Dipertuan Muda dan orang-orang Bugis datang lalu mengangkat Yang Dipertuan Muda sebagai Sultan dan bergelar Sultan Muhammad Shah. Bermulalah Kesultanan Perak berpecah kepada dua pemerintah, Sultan Muzaffar Shah memerintah bahagian utara manakala Sultan Muhammad Shah memerintah di bahagian selatan.

Daing Chelak menetap di Perak agak lama dan akhirnya beliau pun kembali ke Selangor dan pulang ke Riau. Ketika Daing Chelak berada di Kuala Selangor, penduduk Kuala Selangor memohon kepada beliau supaya terus menetap di situ. Walau bagaimanapun, hasrat Daing Chelak untuk terus menetap di Selangor ditolak Sultan Sulaiman dan kemudian Daing Chelak telah mengambil tindakan untuk menamakan salah seorang daripada puteranya iaitu Raja Lumu untuk datang ke Selangor.

Pada tahun 1745, Daing Chelak mangkat di Riau dan meninggalkan dua orang putera dan seorang puteri iaitu Raja Haji di Riau dan Raja Lumu di Selangor. Daing Kemboja telah diangkat menjadi Yamtuan Muda Johor-Riau III memandangkan Raja Lumu pada masa itu terlalu muda dan belum dewasa.

Pembesar 4 Selangor
Sistem pentadbiran Empat orang datuk yang lebih dikenali dengan nama Dato Empat Suku digunapakai sebelum Raja Lumu ditabalkan menjadi Sultan Selangor. Empat orang dato adalah seperti berikut:-

Kuala Selangor ditadbir oleh Datuk Penggawa, Langat oleh Datuk Aru, Ulu Langat dipimpin oleh Datuk Engku Klang dan Klang pula ditadbir oleh Datuk Kecil Yang Tujuh (Anak Encik Kuning) yang menggelar dirinya Orang Kaya Klang dan Datuk Engku Klang, selaku pemimpin utama ketika itu. Setelah empat keturunan dari Datuk Engku Klang iaitu di zaman Datuk Engku Naga Menghulur, ketika inilah rakyat berkehendakkan seorang raja sebagai ‘Payung’. Oleh kerana ketika itu Selangor berada dalam pengaruh Bugis, maka keempat-empat Datuk pun bermuafakat telah memutuskan untuk menjemput seorang raja sebagai penaung dikalangan anak Raja Bugis.

Datuk berempat telah sepakat untuk meletakkan anak Raja Gowa yang bernama Arung Pasarai dalam tahun 1700 dengan ditabal oleh Datuk Engku Klang dan menyerahkan mohor sebagai Yam Tuan Besar Selangor. Arung Pasarai mangkat pada tahun 1723, kemudian digantikan oleh adindanya yang bernama Raja Siti. Raja Siti mangkat dalam tahun 1743 tidak meninggalkan seorang zuriat. Oleh kerana inilah Yang Di-Pertuan Muda Johor-Riau II, Daing Chelak Ibni Daing Rilaga melantik anaknya, Raja Lumu sebagai Yang Dipertuan Raja Kecil Jajahan Selangor agar dapat mengisi kekosongan Yam Tuan Besar Selangor.

Pertabalan Raja Lumu sebagai Sultan Selangor
Menurut Misa Melayu menyatakan Raja Selangor, Raja Lumu datang ke negeri Perak dengan kehendak dirinya sendiri. Setelah selesai Sultan Mahmud Shah, Sultan Perak bermesyuarat bersama pembesarnya, maka barulah Raja Lumu dibenarkan masuk ke dalam negeri Perak. Hal ini menunjukkan bahawa Raja Lumu bukannya dijemput oleh Sultan Perak tetapi datang dengan kehendak sendiri. Sumber Misa Melayu turut mengambarkan Raja Lumu datang ke Perak untuk menghambakan diri kepada Sultan Mahmud Syah.
 “ Maka pada fikiran kita sekarang ia sudah datang ke negeri kita berhambakan dirinya kepada kita maka sekarang ini baiklah kita beri nobat sekali. ”[3]

Para pembesar Sultan Mahmud  bersetuju dengan  cadangan tersebut kerana hal ini dapat menunjukkan kebesaran serta meningkatkan lagi kemasyhuran Sultan dan negeri Perak. Sebelum hari pertabalan segala persiapan pertabalan dibuat seperti membuat gendang nobat dengan selengkapnya untuk dihadiahkan oleh Raja Lumu pada hari pertabalan. Raja Lumu ditabalkan di Kota Lumut Perak dengan adat dan dihadiahkan nobat serta dianugerahkan cap mohor. Raja Lumu kemudiannya diberi gelaran sebagai Sultan Salehuddin.[4]

Setelah dinobatkan sebagai Sultan Selangor pertama, setelah lama berada di Perak baginda bermohon pulang ke Selangor. Sultan Perak mengarahkan seorang menteri dan anak raja yang bernama Raja Alang untuk mengiringi Sultan Salehuddin pulang semula ke Selangor. Selepas itu, majlis seterusnya di lakukan pula di Selangor.

Berbeza pula dengan naskah yang dikarang Raja Ali Haji. Menurut Tuffat al Nafis karangan Raja Ali Al Haji:-
“…disitu ketika Tengku Raja Selangor (Raja Lumu) pergi bermain ke Pulau Pangkor, Raja Lumu dijemput oleh Yang Di-Pertuan Perak untuk mengadap.”[5]

Dalam perundingan di antara kedua pihak itu bersetuju melantik Tengku Raja Selangor menjadi Yang Di-Pertuan Besar Selangor digelar Sultan Salehuddin. Kemudian Sultan Salehuddin pun berangkat pulang ke Kuala Selangor diiringi sendiri oleh Yang Dipertuan Besar Perak. Setelah sampai ke Kuala Selangor Sultan Salehuddin pun ditabalkan dihadapan rakyat Selangor dengan penuh istiadat.

Berdasarkan kedua-dua sumber besar dalam sejarah melayu ini jelas sepakat bahawa Raja Lumu ditabalkan sebagai Sultan Selangor dengan gelaran Sultan Salehuddun di Perak oleh Sultan Perak. Walaupun terdapat beberapa perbezaan versi dari segi teknikal bagaimana Raja Lumu ditabalkan. Begitu juga buku yang ditulis oleh Barbara Watson Andaya, Perak:The Abode of Grace, terbitan Oxford University Press 1979. Menyebut Raja Kimas atau Sultan Mahmud Shah Perak yang mengistiharkan Raja Lumu sebagai pemerintah Selangor yang bebas dari pengaruh Johor[6]

Perbezaan ini dapat dilihat dalam versi Misa Melayu jelas menunjukkan Raja Lumu yang berhajat untuk ditabalkan oleh Sultan Perak manakala dalam versi Tuhfat al-Nafsi yang cenderung kepada bugis menulis bahawa Raja Lumu sedang bersantai di Pangkor dan kemudianya diundang oleh Sultan Perak untuk menghadap.






[1] Abdullah Zakaria Ghazali, “Daeng Chelak bin Daeng Rilekkek: Menelusuri Matlumat daripada Teks Melayu”, Jurnal Sri Alam, Jurnal Lembaga Muzium Selangor Darul Ehsan, Bil 8, 2004.
[2] Raja Ali Haji, Salasilah Melayu dan Bugis, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, 1984.
[3] Ahmad Fauzi Mohd Basri (diselenggarakan oleh), Misa Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992.
[4] Buyong Adil, Sejarah Selangor, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.
[5] Matheson, V, Tuhfat al-Nafis, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, 1982.
[6] Andaya, BW, Perak: The Abode of Grace, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1979.

Tuesday, July 22, 2014

Erdogan: Abdullah Gul dan Istanbul

Video ini adalah merupakan salah satu bahan kempen sewaktu pilihanraya umum kerajaan tempatan Turki pada Mac lepas di Istanbul. Alhamdulillah, saya diberi kesempatan bersama rakan2 pemuda AKP utk terlibat dalam kempen ketika ini. Lebih 2 juta rakyat hadir di Istanbul sahaja menyatakan sokongan kepada Erdogan dan AKParti. Lagu Dombra ini juga seperti dilaung rakyat untuk bersama dalam perjuangan AKP dan Erdogan.

Turki bakal berdepan dengan pilihanraya presiden pada 10 ogos ini. Saya turut diundang kawan2 AKP utk bersama berkempen disana. Namun akibat pemilihan cabang kelana jaya saya terpaksa menolak.

Saya melihat dengan mata sendiri lautan manusia yang tidak pernah saya lihat selepas Bersih. Ini adalah bukti jelas bahawa AKP berjaya menawan hati rakyat Turki. Apa rahsia strategi mereka? Dapat saya simpulkan 2 aspek:-

1. Istanbul - Erdogan bermula dengan menjadi datuk bandar Isbantul pada 27 Mac 1994 sehingga 1998 apabila beliau dipenjarakan. Dalam tempoh 4 tahun sebagai Datok Bandar Istanbul beliau berjaya menyelesaikan pelbagai masalah penduduk Istanbul termasuk isu jenayah, kebersihan, kebajikan rakyat dan pengaguran. Malah kejayaan beliau di Istanbul telah membuka mata rakyat untuk bersama dengan AKP yang ditubuhkan pada 2001 sehingga berjaya tubuh kerajaan pada 2002.

2. Rakan seperjuangan yang setia - kekuatan Turki adalah mempunyai pimpinan besar seperti Erdogan dan rakan seperjuangan beliau yang setia dan tidak gentar berdepan dengan sistem sekular, militer. Ini dapat dibuktikan dengan sahabat beliau, Abdullah Gul yang sanggup melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan menyerahkan kepada Erdogan kerana Erdogan tidak dibenarkan bertanding dalam pilihanraya 2002 akibat diperjarakan.

Seperti di Erdogan, Malaysia punya Anwar Ibrahim. Tapi adakah Malaysia punya seperti Istanbul dan Abdullah Gull?


http://www.youtube.com/watch?v=4sZBcomweOU

Friday, July 18, 2014

Peace and Democratic Society - Amartya Sen

Saturday, July 05, 2014

Ringkasan Slot Dato Dr Siddiq Fadhil: Dakwah di Jalur Politik

Slot Ust Siddiq Fadhil
Dakwah Di Jalur Politik
5 Julai 2014
Klang.


Matlamat hukum adala untuk mencapai keadilan.

Demokrasi dalam politik. bagaimana menjadikan demokrasi menjadi dakwah?
Menjadi dakwah andainya bermotif pemerdayaan rakyat. jika rakyat lemah dan lumpuh tidak ada makna demokrasi. Demokrasi belum menjadi budaya. eg pemilihan. Org yang demokrat tidak tergamat utk membuat hal2 yang tidak demokratik. 

Malik Bennabi - demokrasi islami terkait dengan kesedaran martabat keinsanan. 

Syura adalah ciri2 penting masyarakat Islam. Ayat Surat As-Shura. Solah, Syura, Warazaknahum yunfikun. Syura adalah hak untuk berpendapat. Surah syura adalah surah makki, belum tubuh kerajaan Islam. Jauhar al-Demokratiyah - the essence of democracy. Nafsiyatul Istiqbat - Jiwa Penindas dan Nafsiyatl abdi - Jiwa Hamba, 2 aspek ini akan menggagalkan demokrasi. 

Rendra - Paksa Hija. Seorang hidup dalam ketakutan. - takut kerana kuatir mati. ketakutan telah membantu kezaliman. harus membangun jiwa merdeka. Hanya tunduk kepada tuhan.

Abu Dzar al-GHifari. - contoh semangat rakyat, menegur muawiyah yang membina istana. "Ini bukan harta kamu dan bukan harta bapa kamu". Lambang rakyat yang punya semangat demokrasi. 

Sunday, June 29, 2014

FEDERALISME DAN PENGAMALANNYA DI MALAYSIA - Bhgn 2

ISU SEKITAR FEDERALISME DI MALAYSIA

Sistem faderalisme sewaktu zaman pentadbiran Tunku Abdul Rahman berdepan dengan beberapa isu. Ini melibatkan hubungan antara kerajaan Pusat dan kerajaan negari yang dipimpin oleh dua parti yang berbeza. Pacsa pilihanraya 1959 memperlihatkan pentadbiran Kelantan dibawah PAS dan kerajaan pusat dibawah Parti Perikatan. Akibat daripada haluan politik yang berbeza pihak kerajaan pusat enggan bekerjasama dengan kerajaan negeri, begitu juga sebaliknya pihak kerajaan negeri tidak mahu menerima bantuan kerajaan pusat kerana tidak mahu dilihat dikawal pihak kerajaan pusat. Pihak kerajaan pusat enggan memberikan peruntukan kewangan kepada kerajaan negeri malah telah menubuhkan Kelantan State Land Development Authority (KSLDA) bagi mengenepikan kerajaan negeri dalam soal pembangunan tanah di Kelantan. Satu lagi konflik yang timbul adalah kerana keengganan pihak kerajaan pusat membiaya kos pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra yang akhirnya pihak kerajaan negeri terpaksa membayar sendiri kos pembinaan jambatan tersebut.

Kerajaan negeri Kelantan juga mempunyai pengalaman menyaman kerajaan pusat di dalam kes kemasukkan Sabah, Sarawak dan Singapore ke dalam pembentukkan Malaysia. Konflik yang dibawa ke mahkamah ini, Government of the State of Kelantan vs The  Government of Federation of Malaya and Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, 1968 MLJ 322 kerana pihak kerajaan negeri Kelantan berpendapat kemasukkan Sabah, Sarawak dan Singapura tidak mendapat persetujuan daripada negeri-negeri termasuk Kelantan. Namun, keputusan mahkamah memberikan kemenangan kepada pihak kerajaan persekutuan kerana kerajaan pusat mempunyai kuasa untuk memasukkan mana-mana negeri ke dalam Malaysia tanpa persetujuan kerajaan negeri yang lain.

Krisis federalisme sekali lagi timbul apabila pihak kerajaan pusat tidak memberikan peruntukkan kewangan kepada kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1968.  Ini diakibatkan oleh pihak kerajaan negeri Kelantan tidak berunding terlebih dahulu dengan pihak kerajaan pusat dalam Bajet Kerajaan Negeri 1968. Ini berlaku setelah pilihanraya 1964 kerajaan negeri Kelantan mengambil sikap berkerjasama dengan pusat dan kerajaan Pusat bersetuju memberikan peruntukkan kewangan serta pinjaman kepada kerajaan negeri Kelantan sebanyak 1 Juta ringgit. Dari pinjaman ini, kerajaan pusat meletakkan beberapa syarat termasuklah keperluan untuk rundingan terlebih dahulu dalam perangkaan bajet kerajaan negeri. Krisis kewangan kerajaan negeri ini menunjukkan betapa besarnya kuasa kewangan yang diperuntukkan oleh perlembagaan Malaysia seperti yang dibincangkan diatas.

Peruntukkan perlembagaan dalam Perkara 111(2) dibuktikan melalui kes Government of Malaysia vs Government State of Kelantan (1968), MLJ 223 apabila kerajaan mendapat kewangan daripada syarikat swasta Timbermine Industrial Corporation Co Ltd yang dianggap sebagai pinjaman kewangan oleh pihak kerajaan persekutuan. Seperti yang telah dibincangkan diatas, dalam perkara 111(2) Perlembagaan Malaysia menyatakan pihak kerajaan negeri tidak dibenarkan untuk meminjam wang dari mana-mana pihak tanpa mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan Pusat. Namun demikian pihak mahkamah persekutuan tidak menganggap perjanjian kewangan ini sebagai satu pinjaman dan secara langsung tidak melanggar perkara 111(2)[1]

Dalam zaman pentadbiran Tun Razak (1970-1976) dan Tun Hussien Onn (1976-1981) tidak ada krisis yang besar melibatkan faderalisme kerana ketika Tun Razak, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berada bersama Barisan Nasional bagi membentuk kerajaan campuran. Namun krisis dalaman Barisan Nasional pasca Pilihanraya Umum 1974 akibat daripada perlantikan Dato Muhammad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan yang akhirnya mengakibatkan PAS ditendang keluar daripada Barisan Nasional pada tahun 1977.
Zaman pemerintahan Dr Mahathir menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat mahupun politik Malaysia. Pendekatan pentadbiran beliau yang dianggap berpusat kepada kerajaan persekutuan dan autokratik telah menimbulkan pelbagai krisis dalam politik Malaysia. Krisis perlembagaan 1983 dan 1993 adalah yang paling ketara selain pencabulan hak asasi manusia termasuk dalam kes pembunuhan Ibrahim Libya dan pengikutnya di Baling. Begitu juga krisis dalaman UMNO yang berpecah kepada UMNO baru dan Semangat 46’ menghasilkan Angkatan Perpaduan Ummah manyapu bersih kerajaan negeri di Kelantan dalam pilihanraya umum 1990.

Titik tolak penting dalam sejarah politik Malaysia adalah apabila Dato Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO dengan tuduhan rasuah dan liwat mengakibatkan kebangkitan rakyat Reformasi 1998. Kesan daripada Reformasi 1998 adalah Barisan Alternatif Berjaya menawan Kerajaan Negeri Terengganu dan mengekalkan kuasa Kerajaan Negeri Kelantan. Krisis federalisme sekali lagi timbul pasca Pilihanraya Umum ke-9 ini. Dibawah kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir, Kerajaan Pusat menggunakan kuasa persekutuan untuk mendapat pengaruh dan mengawal kerajaan negeri.

Hak kerajaan negeri Kelantan untuk mendapat royalti minyak dinafikan. Bercanggah dengan Tun Abdul Razak yang menyelia pewartaan Akta Petroleum 1974, berkata Royalti 5 peratus perlu dibayar walaupun minyak ditemui di luar pesisir.

Jawapan yang diberikan pada 12 November 1975 itu berbunyi:
“Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore) atau di luar perairan (offshore) negeri tersebut, yang dijadual oleh PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya.”

Pada 9 Mei 1975, Kerajaan Negeri Kelantan telah menandatangani Perjanjian di bawah akta 144 Petroleum Development Act 1974. Perjanjian tersebut yang kebelakangan ini cuba pula dinafikan oleh beberapa pemimpin BN termasuk tokoh BN Kelantan bertajuk, “Grants of Rights, Powers, Liberties and Privileges in respect of Petroleum”.

Section 4 di dalam perjanjian tersebut di baca seperti berikut,
“Section 4. Cash payment by the Corporation.
In return for the ownership and the rights, powers, liberties and privileges vested in it by virtue of this Act, the Corporation shall make to the Government of the Federation and the Government of any relevant State such cash payment as may be agreed between the parties concerned.”[2]

Perjanjian telah ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan pada ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas, YM Tengku Razaleigh Hamzah. Namun adalah malang bagi rakyat Kelantan apabila Royalti digantikan kepada wang ihsan pada tahun 2000. Perjuangan mendapatkan hak rakyat Kelantan masih berterusan sehingga hari ini.

PENUTUP

Secara umumnya federalisme di Malaysia adalah merupakan sistem yang telah diamalkan sekian lama telah terbukti memberikan signifikan positif khususya di dalam melicinkan pentadbiran negara dan membangunkan ekonomi negara. Sistem federalisme ini juga dapat menyelesaikan masalah perkauman di Malaysia yang masyarakatnya adalah berbilang kaum. Ini secara lebih jelas dapat dibuktikan di negeri seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang mana populasi kaum di negeri berkenaan adalah majoriti bukan Melayu. Melalui sistem federalisme, kaum majoriti bukan Melayu dapat mengekalkan kuasa pentadbiran dan identiti negeri mereka walaupun berada dalam kumpulan masyarakat majmuk. Negeri-negeri yang kecil dapat peluang pembangunan ekonomi dan bantuan kerajaan pusat yang adil disamping pentadbiran yang lebih licin dan keselamatan yang lebih terjamin.

Namun demikian aspek kerjasama negeri dan pusat ini dalam situasi tertentu terhalang serta menjerumus kepada konflik apabila pemerintah negeri dan pemerintah pusat adalah tidak sehaluan atau dipegang oleh Parti Politik yang berbeza. Dalam beberapa kes yang dilontarkan diatas memperlihatkan sinario di Kelantan seringkali berlaku konflik diantara Kerajaan Pusat yang di perintah oleh Barisan Nasional dan Kerajaan Negeri oleh Pakatan Rakyat. Penyelesaian kepada konflik ini hanya dapat dibuat jika aturan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Malaysia dapat dipegang dan diikut tanpa mengira kepentingan politik.

 RUJUKAN

Muhammad Agus Yusof, Politik Federalisme di Malaysia, Jati, Bil 7, Disember 2002
Mohammad Agus Yusoff, Malaysian Federalism: Conflict or Consensus: Penerbit Universiti Kebangsaan, Bangi, 2006.
Joseph M Fernando, The Alliance Road To Independence: Universiti Malaya Press, Kuala Lumpur, 2009
M Guibernau, Nationalisms: The Nation State and Nationalisme in the Twentieth Century, Polity Press, Cambridge, 1996.
B. Simandjuntak, Malayan Federalism, 1945-1963: A Study of Faderal Problem in a Plural Society, Oxford Press. Kuala Lumpur, 1969.
Muhammad Kamil Awang, The Sultan and The Constitution, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998
Joseph M Fernando, The Alliance Road to Independence, University Malaya Press, Kuala Lumpur. 2009
Joseph M Fernando, Federal Constitutions: A Comparative Study of Malaysia and the United States, University Malaya Press, Kuala Lumpur. 2007
Raja Nor Alaini, A Historical Perspective of Federalism in Malaysia, International Journal of Business, Economic and Law, Vol 1, 2012
PETIKAN SURAT YBM Tengku Razaleigh Hamzah yang dihantar kepada YAB Menteri Besar Kelantan bertarikh 30 Julai 2009



[1] Raja Nor Alaini, A Historical Perspective of Federalisme in Malaysia, International Journal of Business, Economic and Law, Vol 1, 2012
[2] PETIKAN SURAT YBM Tengku Razaleigh Hamzah yang dihantar kepada YAB Menteri Besar Kelantan bertarikh 30 Julai 2009

Thursday, June 26, 2014

Federalisme dan Pengamalannya di Malaysia - Bhgn 1

FEDERALISME DAN PENGAMALANNYA DI MALAYSIA - Bhgn 1.

MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI

PENGENALAN
Federalisme atau sistem Persekutuan adalah merupakan sistem yang diperkenalkan British sejak sebelum merdeka bagi melicinkan sistem pentadbiran dan pengurusan ekonomi. Pengamalan Federalisme di Malaysia memberikan pelbagai kesan signifikan dalam ekonomi dan politik di Malaysia. Kertas ini akan membincangkan pelaksanaan sistem Federalisme di Malaysia dengan memberi pemahaman konsep faderalisme dan seterusnya perjalanan pelaksanaan federalisme. Kertas ini turut membuat perbandingan pengamalan federalisme di Malaysia dan di negara lain serta memberikan gambaran isu penting yang berlegar di sekirar federalisme di Malaysia sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri Pertama hingga Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad bagi melihat aspek positif dan negatif sistem federalisme di Malaysia.

KONSEP FEDERALISME
Sistem federalisme adalah merupakan sistem yang telah digunapakai sejak zaman kegemilangan Yunani pada kurun ke 13 bagi meningkatkan keselamatan di negera-negara sekitar Yunani dari serangan musuh. Sistem ini dipoluparkan kemudiannya oleh tokoh falsafah Perancis, Jean Bodin yang menyatakan sistem federalism ini adalah merupakan sistem terbaik bagi melicinkan perjalanan pentadbiran negara dan memberikan kuasa kepada wilayah-wilayah kecil. Ini secara langsung dapat meningkatkan pembangunan ekonomi dan keselamatan sesebuah negara. Jean Bodin melihatkan walaupun wilayah atau negeri kecil ini terpaksa menyerahkan sebilangan kuasa kedaulatan mereka kepada pemerintahan pusat, tetapi negeri ini diberikan kelebihan melalui penyatuan wilayah lain secara persekutuan dan masih mengekalkan identiti mereka.

Secara pemahaman konsepnya federalisme seperti yang dinyatakan oleh Wheare bahawa pemerintahan federalisme adalah merupakan sistem kerajaan yang mempunyai kuasa pusat dan kuasa negeri atau wilayah dengan masing-masing mempunyai kuasa untuk memerintah seperti yang dipandukan oleh perlembagaan. Secara ringkasnya ciri-ciri negara yang mengamalkan federalisme adalah mempunyai dua bentuk kerajaan iaitu diperingkat negeri/ wilayah dan pusat dengan masing-masing mempunyai kuasa. Federalisme hanya boleh terwujud dengan persetujuan wilayah kecil atau negeri ini ingin bergabung antara satu sama lain dan menyerahkan sebilangan kedaulatan kuasa negeri kepada kuasa pusat dengan jaminan oleh perlembagaan dan masih mengekalkan identiti mereka. [1]

PELAKSANAAN FEDERALISME DI MALAYSIA
Pelaksanaan sistem federalisme di Malaysia adalah seawal 1896 yang melibatkan negari-negeri Melayu Bersekutu iaitu Selangor, Pahang, Perak, dan Negeri Sembilan sewaktu sistem residen dibawah penjajah British. Sir Frank Swetthenham selaku pegawai tadbir British merasakan negeri-negeri Melayu bersekutu ini perlu disatukan melalui sistem persekutuan bagi melicinkan pentadbiran dan pengurusan ekonomi.

Dalam sudut yang lain, penubuhan sistem Residensi ini bukanlah satu sistem persekutuan tetapi perjanjian persekutuan ini sebenarnya adalah untuk memperluaskan cengkaman kuasa penjajah British di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam pada masa yang sama cuba mencerminkan bahawa penjajah British melindungi kepentingan Melayu. Ini dapat dilihat apabila 5 Perjanjian Persekutuan (Treaty of Federation), dalam artikel 4 menyebut bahawa Monarki bersetuju untuk melantik pegawai British yang dikenali sebagai ‘Residency General’ yang akan mengawal selia segala urusan pentadbiran dan kewangan kecuali dalam hal agama Islam dan adat. Penerimaan sistem residen di empat buah negeri ini memberikan kuasa yang besar kepada British selaku Residen Umum berbanding penasihat British dalam sistem yang lama.

Fasa baru dalam sistem pelaksanaan Federalisme di Malaysia adalah pada tahun 1948, sewaktu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu digunapakai. Perjanjian ini adalah merupakan perjanjian yang menggantikan Malayan Union yang mendapat tentangan hebat daripada penduduk Melayu. Malayan Union merupakan simbol kebangkitan rakyat menentang dasar British dan kemudiannya menjadi titik tolak kepada perjuangan menuntut kemerdekaan. Terdapat tiga intipati penting Malayan Union iaitu mewujudkan kesatuan yang menggabungkan kesemua negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Selat kecuali Singapura. Secara langsung Malayan Union menghapuskan kuasa negeri-negeri dan menggunakan sistem Unitari atau kesatuan. Kedua adalah kesemua negeri yang berada dibawah kesatuan Malayan Union akan diketuai oleh seorang ‘Governor-General’ yang mengawal seluruh pentadbiran Malayan Union dan ini secara langsung mengecilkan kuasa raja-raja Melayu kecuali dalam hal adat dan agama Islam. Intipati Malayan Union ketiga adalah sistem kerakyatan berlandaskan ‘Jus Soli’. Jus Soli adalah pendekatan yang diambil British dalam memberikan kerakyatan kepada mana-mana kaum berlandaskan tempat kelahiran dan tempoh tinggal di tanah Melayu.

Pada 1 April 1946, Edward Gent dilantik menjadi ‘Governor-General’ pertama selepas Harold MacMicheal ditugaskan penjajah untuk mendapatkan persetujuan raja-raja Melayu. Pelaksanaan Malayan Union dan tindakan British membelakangkan raja-raja Melayu menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu. Pelbagai tindakan diambil termasuk penubuhan UMNO dan semua parti serta pertubuhan Melayu bergabung menentang pelaksanaan Malayan Union.

Akibat penentangan ini, penjajah British menghantar 2 orang ahli Parlimen, LD Gammans (Parti Konservatif) dan Kolonel Rus William (Parti Buruh) untuk berbincang dengan pimpinan Melayu dan Raja-Raja Melayu. Hasil dari perbincangan ini cadangan yang dibuat kepada penjajah British adalah untuk mempunyai kerajaan pusat yang kukuh dengan memberi kuasa serta pengiktirafan kepada negeri-negeri Melayu. Akhirnya pada 1 Februari 1948 telah dilaksanakan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang menggunapakai sistem federalisme sebagai sistem pentadbiran antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri[2].

Sehingga Mac 1957, satu suruhanjaya Reid telah ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai langkah penting menuntut kemerdekaan. Antara intipati penting dalam Perlembagaan Persekutan Tanah Melayu yang diketuai oleh Lord Reid adalah untuk mengadakan kerajaan pusat yang kuat dan kukuh disamping kuasa-kuasa negeri yang dijamin perlembagaan, kedudukan raja-raja Melayu sebagai raja berperlembagaan, mengadakan sistem kerakyatan seperti yang dipandukan perlembagaan, dan menjamin kedudukan istimewa orang melayu[3].

Perlembagaan Malaysia terdapat 15 Bahagian dengan 131 Perkara selepas kemasukkan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963. Dalam hal ini, Kerajaan persekutuan diberi kelebihan kuasa berbanding Kerajaan Negeri. Ini dapat dilihat dalam aspek kewangan dan aspek perundangan. Dalam artikel 75 menyatakan bahawa jika undang-undang negeri yang tidak selari dengan undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan akan digunapakai dan undang-undang negeri akan terbatal. Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Malaysia juga telah menggariskan 3 senarai bidang kuasa pusat, negeri dan bersama. Dalam senarai ini, kuasa utama adalah kepada kerajaan pusat selebihnya seperti hal tanah, muzium, perairan dan saliran, agama Islam dan adat adalah dibawah kerajaan negeri. Peruntukkan kewangan pula dalam Perlembagaan Malaysia meletakkan cukai-cukai utama dan sumber kewangan penting negara di bawah kuasa kerajaan pusat seperti yang di peruntukkan dalam Artikel 96-112 Perlembagaan Malaysia.

PERBANDINGAN FADERALISME DI MALAYSIA DAN NEGARA LUAR
Federalisme adalah konsep yang digunakan pakai oleh kebanyakkan negera pasca kolonialisasi. Antara faktor utama adalah kerana sistem ini mampu menyatukan kepelbagaian dalam sesebuah negara seperti yang dinyatakan dalam buku Federalism in Asia oleh Bhattacharrya. Dalam beberapa fakta termasuk yang dinyatakan oleh Guibernau melihat bahawa negara mengamalkan sistem federalisme adalah merupakan sistem yang memenuhi tuntutan kumpulan minoriti dan ideal kepada negara yang mempunyai pelbagai kaum.[4] Ini dapat dilihat dalam beberapa pengamalan faderalisme di Belgium yang berdepan dengan wilayah majoriti berbangsa Flemish dan tuntutan autonomi diberikan berdasarkan pengamalan sistem faderalisme di Belgium. Begitu juga dengan Kanada yang mengangkat sistem faderalisme sebagai sistem yang ideal bagi berhadapan dengan kaum minoriti seperti golongan Quebecois. Di Sepanyol, golongan etnik minoriti Basque, Catelonia dan Galacia menggunakan sistem federalisme ini di Sepanyol bagi memenuhi tuntutan mereka.

Walaupun sebenarnya sehingga hari ini tuntutan dari puak Flemish di Belgium dan puak Quebecois masih menuntut pemerintahan sendiri atau dalam erti kata lain kemerdekaan dari Belgium dan Kanada, tetapi sistem federalisme masih dilihat yang terbaik dan ideal bagi memenuhi tuntutan kaum minority sekaligus mengurangkan konflik dalam negera.

Dalam konteks ini pengamalan federalisme di Malaysia bukanlah didorong oleh memenuhi tuntutan etnik minoriti seperti yang dinyatakan di atas, tetapi Simandjuntak[5] dalam tulisan beliau meletakkan federalisme di Malaysia sebagai sebuah kejayaan kerana federalisme adalah merupakan solusi kepada masalah berkauman  di Malaysia berbanding kegagalan federalisme dalam menyelesaikan masalah perkauman di India Barat.

Federalisme di Malaysia tidak dilihat didorang daripada faktor masalah perkauman tetapi pengalaman federalisme di Malaysia adalah berkait rapat dengan geografi politik negeri yang telah diamalkan sejak sebelum merdeka terutamanya melalui Persekutuan Tanah Melayu 1948. Sebelum Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu diperkenalkan pada 1948, pihak penjajah British cuba untuk menggunakan sistem Unitari di Tanah Melayu melalui Malayan Union 1946-1948. Melalui Malayan Union pihak British cuba menghapuskan kedudukan dan kuasa negeri-negeri termasuk institusi beraja di negeri-negeri. Kuasa raja-raja Melayu termasuk kuasa terhadap tanah nageri dihapuskan kecuali kuasa dalam hal-ewal agama Islam. [6] Akibat tercetusnya penentangan terhadap cadangan Malayan Union ini makalah wujudnya Perjanjuan Persekutan Tanah Melayu pada 1 April 1948 yang menolak sistem unitari dan mengguna pakai sistem persekutuan dengan mengekalkan negeri-negeri Melayu serta kuasa sultan.

Walaupun sistem yang diguna pakai di Malaysia kebanyakkan adalah sistem peninggalan British, tetapi adalah sesuatu yang menarik apabila di dalam Suruhanraja Reid mengguna pakai sistem federalisme berbanding British yang menggunakan sistem Unitari atau kesatuan. Dalam suruhanjaya Reid yang turut disertai oleh wakil dari India, Pakistan dan Australia yang juga mengamalkan sistem federalisme mengiktiraf Tanah Melayu sebagai negara persekutuan, federalisme.[7] Dalam konteks ini Malaysia adalah lebih rapat dengan Amerika Syarikat yang turut mengguna pakai sistem Federalisme berbanding British yang menggunakan sistem Unitari, Kesatuan.

Amerika Syarikat pada awalnya menggunakan sistem konfederasi yang memberikan kuasa besar kepada negeri-negeri di Amerika Syarikat yang akhirnya tercetus pelbagai masalah termasuk peperangan. Akhirnya pada tahun 1787 sebuah Konvensyen Perlembagaan di Philadephia telah diadakan bagi merangka perlembagaan baru Amerika Syarikat. Hasil daripada konvensyen ini Amerika Syarikat telah mengguna pakai sistem baru Federalisme. Berdasarkan penulisan Dr Joseph Fernando, Federal Constitutions: A Comprehensive Study of Malaysia and the United State[8] telah meletakkan bahawa Malaysia dan Amerika Syarikat berkongsi satu persamaan yang utama iaitu memberikan kuasa yang besar kepada kerajaan persekutuan.





[1] Muhammad Agus Yusof, Politik Federalisme di Malaysia, Jati, Bil 7, Disember 2002
[2] Mohammad Agus Yusoff, Malaysian Federalism: Conflict or Consensus: Penerbit Universiti Kebangsaan, Bangi, 2006.
[3] Joseph M Fernando, The Alliance Road To Independence: Universiti Malaya Press, Kuala Lumpur, 2009
[4] Guibernau, M, Nationalisms: The Nation State and Nationalisme in the Twentieth Century, Polity Press, Cambridge, 1996.
[5] Simandjuntak, B. Malayan Federalism, 1945-1963: A Study of Faderal Problem in a Plural Society, Oxford Press. Kuala Lumpur, 1969.
[6] Muhammad Kamil Awang, The Sultan and The Constitution, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998
[7] Joseph M Fernando, The Alliance Road to Independence, University Malaya Press, Kuala Lumpur. 2009
[8] Joseph M Fernando, Federal Constitutions: A Comparative Study of Malaysia and the United States, University Malaya Press, Kuala Lumpur. 2007

Monday, June 23, 2014

ULASAN BUKU ZABA DAN MELAYU

ULASAN BUKU: Adnan Hj Nawang, Za’ba dan Melayu, Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris. 2009

Mohd Saifullah Mohd Zulkifli

Sebuah buku yang telah dihadiahkan oleh seorang sahabat ini memberikan makna yang besar di dalam usaha untuk mengenali usaha-usaha dan perjuangan Zainal Abidin Ahmad yang lahir pada 16 September 1895, atau lebih dikenali sebagai Za’ba. Beliau merupakan pejuang dan cendiakawan Melayu terkenal di dalam mengangkat martabat bangsa Melayu. Beliau juga terlibat secara aktif sebagai pendidik yang memainkan peranan penting di dalam pemikiran politik tanah air.

Tulisan ini akan menilai buku setebal 284 muka surat yang telah di terbitkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 2007. Buku ini pada asalnya adalah merupakan disertasi penulis Dr Adnan Hj Nawang di Jabatan Sejarah Universiti Malaya di bawah penyeliaan Prof Khoo Kay Kim dengan tajuk Pemikiran Za’ba tentang Pemikiran Melayu yang kemudian diolah dan diterbitkan menjadi buku Za’ba dan Melayu.

Buku ini mengandungi tujuh bahagian, dengan topik pertama membicarakan kehidupan awal Za’ba. Bahagian kedua hingga bahagian ketujuh membicarakan soal pemikiran Za’ba sebagai Reformis Islam, konsep pendidikan dan perkembangannya, pembinaan dan kemajuaan bahasa melayu, kemiskinan dan pembelaan ekonomi, gagasan dan perjuangan politik, serta perkembangan kemajuan Melayu.

Buku ini secara ringkas membawa pembaca untuk mengenali Za’ba secara dekat. Za’ba yang mencintai ilmu sejak kecil mempelajari pendidikan awal agama mempunyai minat yang dalam terhadap al-Quran dan kitab-kitab agama. Beliau turut mendapat pendidikan Inggeris di Seremban.

Za’ba semuda umur 20-an telah bergiat menulis rencana dipelbagai akhbar termasuk Utusan Melayu dan makalah seperti al-Ikhwan. Beliau banyak dipengaruh dengan pemikiran kaum muda yang dibawa tokoh sepert Syed Syeikh al-Hadi dan Sheikh Tahir. Gerakan Kaum muda ini secara langsung mencorak pemikiran beliau untuk menolak penjajah dan mengangkat bangsa merdeka serta menolak sistem feudal. 

Buku yang ditulis oleh penulis yang sama bertajuk Za’ba: Patriot dan Pendeta Melayu adalah lebih terperinci dari segi matlumat riwayat hidup pendeta Za’ba jika di banding buku Za’ba dan Melayu. Za’ba dan Melayu secara terperinci lebih membicarakan soal pemikiran dan perjuangan Za’ba mengangkat martabat Melayu.

Buku ini menarik minat kita untuk telusuri pemikiran politik Zaba kerana pandangan politik beliau yang dikatakan bersifat anti feudal, raja-raja melayu, pembesar-pembesar melayu dan juga anti British. Ini disebabkan kedua-dua golongan tersebut dipercayai dengan sengaja membiarkan orang Melayu terus berada dalam serba serbi kemiskinan.

Tulisan Adnan Haji Awang dalam buku Zaba dan Melayu menyatakan kritikan Zaba kepada golongan raja dan pembesar melayu menjadi sangat sinis kerana beliau berpendapat bahawa golongan tersebut telah mengabaikan tangunggjawab mereka dalam menjaga maruah bangsa. Pemerintahan raja-raja melayu sebelum kedatangan British dikatakan sangat kejam. Ini dapat dilihat melalui tulisan beliau :-

"...kena perabadian dan kena picit dan perah dan ramas ditangan pemerintah-pemerintahnya". (al-Ikhwan, 16 April 1927)

Zaba telah bersikap berterus-terang dan berani sekalipun dalam mengemukakan fikiran kritisnya terhadap golongan feudal. Beliau menyedari tentang sikap negatif golongan feudal terhadap soal kemajuan rakyat pada zaman pemerintahan mereka. menurut Zaba, mereka tidak pernah mengambil tahu tentang apa erti politik, bagaimana keadaan bangsa melayu dan sebab-sebab kemunduran dan tidak mahu berusaha mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi oleh anak-anak bangsa mereka.

Sementara itu dalam tulisannya yang lain Zaba cuba memperlihatkan beberapa kelemahan pemerintahan mereka dahulu berbanding dengan pemerintahan kerajaan British. Antaranya dikatakan bahawa Tanah Melayu telah ketinggalan dalam soal ketamadunan. Kenyataan Zaba ini merujuk pembangunan infrastuktur terdapatnya telegraf, telefon, keretapi, elektirik, jambatan besar, dan jalan rata. Keperluan yang lebih penting ialah diadakan sekolah-sekolah Melayu dan Inggeris di seluruh Tanah Melayu.

Adalah malang kepada pembesar dan raja-raja Melayu yang secara sinis dikritis Za’ba yang langsung tidak menunjukkan minat membangunkan pendidikan dan ketamadunan Melayu. Lebih malang golongan ini sanggup bekerjasama dan menjadi tali barut penjajah menggunakan kekayaan tanah air. Za’ba mendakwa raja-raja Melayu pernah menghadiah sejumlah besar yang kepada British untuk membeli kapal perang ‘Her Majesty Ship Malaya’ untuk membantu British menghadapi Perang Dunia Kedua (muka 176)

Seperti yang kita ketahui, Zaba dikenali sebagai pejuang Malayu yang membangkitkan kesedaran penentangan penjajah terutama melalui pendidikan. Zaba mengkritik British, walaupun British membawa pelbagai teknologi yang dianggap asing ke Tanah Melayu. Tindakan Za’ba yang kuat mengkritik penjajah British melalui tulisannya membawa beliau kepada ancaman daripada pihak British. Gaji beliau disekat dan ditukar jabatan beberapa kali. Namun ancaman ini tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berjuang. (muka 181)

Apa yang unik disini adalah apabila kita lihat bahawa sistem monarki yang Za’ba sifatkan sebagai feudalisme itu merugikan masyarakat melayu kerana penyelewengan dan penindasan kepada rakyat. Sesuai dengan bait-bait puisi raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.

Kritik terhadap sistem Monarki disampaikan Za’ba yang digambarkan buku ini barangkali belainan dengan tokoh akademik dalam bidang undang-undang dan perlembagaan iaitu Abdul Aziz Bari yang menulis Buku ‘Politik Perlembagaan: Suatu Perbincangan Tentang Isu-Isu Semasa dari Sudut Perlembagaan dan Undang-Undang’.

Aziz Bari merupakan mantan Profesor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa melihat kepada perspektif sosio politik Malaysia yang memerlukan satu badan yang diluar kerangka politik bagi memastikan keadaan Negara sentiasa terkawal apabila berlaku kacau bilau. Sistem raja berpelembagaan pandangan beliau adalah satu badan apolitik yang tidak berpihak pada mana-mana pihak dan harus berperanan untuk menjamin kestabilan sesebuah Negara.  

Pandangan ini turut dikukuhkan dengan tulisan Prof Ben O Nwabueze dalam bukunya ‘Constitutionalism in the emergent State’ yang membandingkan sistem monarki di Britain yang ditakhtakan oleh Ratu Elizabeth sejak 1952 menyaksikan pertukaran 10 orang Perdana Menteri berbanding Negara Afrika yang mengamalkan sistem republik gagal untuk stabil menerusi demokrasi berparlimen dengan sistem presiden sehingga berlakunya kacau bilau seperti rampasan kuasa dan perang saudara.

Dalam hal kritikan kepada sesetengah sultan yang dilihat korup atau membelakangkan rakyat seperti yang dilontarkan oleh Za’ba turut dijawap Aziz Bari seperti yang dituliskan beliau dalam buku ‘Politik Berlembangaan’. Buku ini menerangkan bahawa kesilapan individu adalah lumrah manusia yang dilakukan semua tidak kira apa kedudukan. Justeru kesilapan moral individu tidak patut dikaitkan pada satu-satu sistem. Sistem beraja dan kesilapan moral adalah dua perkara berbeza.

Dalam konteks ini, apa yang menarik dan wajar untuk kita contohi daripada Zaba adalah dengan melihat insitusi Raja secara objektif dan rasional, bukan secara emosi atau ikutan yang membuta tuli. Walaupun institusi seperti ini dianggap suci dan ‘taboo’ dalam masyarakat Melayu, tetapi apabila konsep-konsep seperti ini membelakangi kedaulatan rakyat dan kesatuan Allah, justeru adalah wajar untuk dilihat kembali secara objektif.

Di dalam konsteks Malaysia pasca Merdeka, kedudukan raja berpelembagaan ini lebih dari sekadar simbol. Di dalam kerangka perlembagaan, sistem raja berperlembagaan turut mempunyai peranan di dalam menstabilkan keharmonian di antara kaum. Seperti contoh pindaan perlembagaan dalam hal-hal keistimewaan orang melayu dan isu berkaitan, meletakkan perlunya mandat kelulusan dari majlis raja-raja.

Za’ba adalah antara golongan cendiakawan intelektual Melayu yang mengangkat martabat ilmu dan pendidikan Melayu. Beliau sedar bahawa susur galur disiplin dan fundamental seperti yang di amal di dalam agama Islam itu yang menjadi perkara pokok kayu ukur, membedakan antara hak dan bathil. Bukan melalui nilai-nilai norma, dan budaya adakalanya sempit dalam hal2 tertentu. Zaba seperti yang telah dimaklum mengkritik institusi Raja kerana disifatkannya sebagai gagal membela hak bangsa melayu dan mengangkat ketamadunan bangsa.

Institusi Raja tidak boleh dianggap sebagai sayap mana-mana parti atau dipolitikkan, sepertimana institusi pendidikan tidak wajar dipolitik-partikan. Raja berperlembagaan adalah institusi rakyat yang menjadi simbol kekuatan rakyat. Masyarakat tidak perlu menunggu pilihanraya umum untuk melihat peranan yang perlu dimainkan oleh institusi raja.

Adalah malang apabila institusi Raja hanya dilihat berperanan untuk memayungi golongan tertentu. Kelompok Ultra Melayu seperti Perkasa dan parti politik haluan nasionalis melayu melihat isu perkauman dan institusi raja adalah benteng terakhir untuk menyelamatkan kuasa politik. Politik sempit yang berasaskan perkauman untuk menakutkan kaum majoriti adalah politik lama yang hanya boleh digunakan di dalam masyarakat yang kurang matlumat.

Institusi Raja juga harus sedar jika berlaku kerosakkan dalam Bangsa Melayu tidak disebabkan oleh bangsa lain, tetapi dirosakkan dengan kepimpinan Melayu yang rasuah dan korup berada di tempat yang tidak sepatutnya seperti yang dikosong oleh Za’ba. Justeru misi untuk menyelamat ketuanan Melayu bukanlah dengan menggunakan sentimen bangsa untuk kepentingan mana-mana parti tetapi mengangkat martabat bangsa Melayu adalah dengan mengangkat pendidikan dan pengetahuan seperti yang diperjuangkan boleh Za’ba.

Sebagai penutup, buku ini memberi iktibar daripada perjuangan Pendeta Zaba mengajar bangsanya agar mengangkat pengetahuan dan pendidikan. Melayu tidak harus bersikap mengikut membuta tuli tanpa ilmu dan fikiran. Tidak perlu bersikap emosi di dalam membicarakan perkara-perkara yang sebenarnya dimomokkan dan didoktrin sebagai Melayu. Apabila dikaitkan dengan hak melayu, ketuanan Melayu tidak boleh dibicarakan. Sebenarnya yang penting adalah Ilmu dan pendidikan.










BIBLIOGRAFI

Adnan Haji Nawang, Za’ba Patriot dan Pendeta Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit: Yayasan Penataran Ilmu. 1994

Adnan Hj Nawang, Za’ba dan Melayu, Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris. 2009

Muhammad Kamil Awang, The Sultan & The Constitution, Kuala Lumpur: Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka. 1998

Abdullah Hussain & Khalid M. Hussain, Pendeta Za’ba dalam  Kenangan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 2000

Abdul Aziz Bari, Politik Perlembagaan: Suatu Perbincangan Tentang Isu-isu Semasa dari Sudut Perlembagaan dan Undang-undang, Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar. 2006                                                    

Benjamin Obi Nwabueze, Constitutionalism in the Emergent State, Michigan: Fairleigh Dickinson University Press. 1973




 
TouchUp by MohdSyahiran | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Eagle Belt Buckles