Kira-kira 100 orang berhimpun di hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ipoh bagi mendesak kerajaan membatalkan pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi kesalahan trafik.

Timbalan Setiausaha Pemuda PKR (AMK) Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, perhimpunan kira-kira sejam bermula pada jam 10 pagi itu hanya permulaan daripada kempen bantahan berterusan yang akan dianjurkan di setiap negeri.

NONE"Kita sedang susun untuk jadikan sebagai gerakan rakyat. Akan ambil tanda tangan sebagai tanda protes dan ke negeri-negeri untuk berdemonstrasi.

"Himpunan ini juga ingin menyedarkan rakyat bahawa tindakan kerajaan melaksanakan AES ini menekan dan menzalimi rakyat yang semakin dihimpit kekangan ekonomi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini

Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja Chang Li Kang yang naib pengerusi PKR negeri.

'Saman Rakyat 1Malaysia atau SR1M' 


Dalam perhimpunan itu, mereka turut melaungkan "hidup rakyat", "kroni kaya rakyat derita" sambil membawa sepanduk "say no to AES" (katakan tidak kepada AES) dan kain rentang bertulis "beri rebat RM200, kena saman RM300". 

NONEMereka juga memperolokkan sistem itu dengan membawa kain rentang yang menggelar AES sebagai "Saman Rakyat 1Malaysia (SR1M)" -- julukan yang seakan-akan sama dengan "Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sementara itu, Chang (atas, berbaju biru muda) berkata, sambutan perhimpunan pagi tadi amat menggalakkan apabila orang ramai yang melintasi mereka membunyikan hon dan melambaikan tangan sebagai tanda sokongan.

"Orang-orang JPJ ada yang keluar, dan tengok sahaja. Kita buat di depan JPJ kerana kita nak desak supaya batalkan AES atau kalau tidak, kita akan anjurkan perhimpunan yang lebih besar," kata Chang. 

Bermula 23 September lalu, sebanyak 14 kamera AES dipasang di kawasan hitam di Lembah Klang dan Perak.

JPJ menyasarkan pemasangan 831 kamera AES secara berperingkat dalam masa 18 bulan di seluruh negara.