Thursday, June 26, 2014

Federalisme dan Pengamalannya di Malaysia - Bhgn 1

FEDERALISME DAN PENGAMALANNYA DI MALAYSIA - Bhgn 1.

MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI

PENGENALAN
Federalisme atau sistem Persekutuan adalah merupakan sistem yang diperkenalkan British sejak sebelum merdeka bagi melicinkan sistem pentadbiran dan pengurusan ekonomi. Pengamalan Federalisme di Malaysia memberikan pelbagai kesan signifikan dalam ekonomi dan politik di Malaysia. Kertas ini akan membincangkan pelaksanaan sistem Federalisme di Malaysia dengan memberi pemahaman konsep faderalisme dan seterusnya perjalanan pelaksanaan federalisme. Kertas ini turut membuat perbandingan pengamalan federalisme di Malaysia dan di negara lain serta memberikan gambaran isu penting yang berlegar di sekirar federalisme di Malaysia sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri Pertama hingga Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad bagi melihat aspek positif dan negatif sistem federalisme di Malaysia.

KONSEP FEDERALISME
Sistem federalisme adalah merupakan sistem yang telah digunapakai sejak zaman kegemilangan Yunani pada kurun ke 13 bagi meningkatkan keselamatan di negera-negara sekitar Yunani dari serangan musuh. Sistem ini dipoluparkan kemudiannya oleh tokoh falsafah Perancis, Jean Bodin yang menyatakan sistem federalism ini adalah merupakan sistem terbaik bagi melicinkan perjalanan pentadbiran negara dan memberikan kuasa kepada wilayah-wilayah kecil. Ini secara langsung dapat meningkatkan pembangunan ekonomi dan keselamatan sesebuah negara. Jean Bodin melihatkan walaupun wilayah atau negeri kecil ini terpaksa menyerahkan sebilangan kuasa kedaulatan mereka kepada pemerintahan pusat, tetapi negeri ini diberikan kelebihan melalui penyatuan wilayah lain secara persekutuan dan masih mengekalkan identiti mereka.

Secara pemahaman konsepnya federalisme seperti yang dinyatakan oleh Wheare bahawa pemerintahan federalisme adalah merupakan sistem kerajaan yang mempunyai kuasa pusat dan kuasa negeri atau wilayah dengan masing-masing mempunyai kuasa untuk memerintah seperti yang dipandukan oleh perlembagaan. Secara ringkasnya ciri-ciri negara yang mengamalkan federalisme adalah mempunyai dua bentuk kerajaan iaitu diperingkat negeri/ wilayah dan pusat dengan masing-masing mempunyai kuasa. Federalisme hanya boleh terwujud dengan persetujuan wilayah kecil atau negeri ini ingin bergabung antara satu sama lain dan menyerahkan sebilangan kedaulatan kuasa negeri kepada kuasa pusat dengan jaminan oleh perlembagaan dan masih mengekalkan identiti mereka. [1]

PELAKSANAAN FEDERALISME DI MALAYSIA
Pelaksanaan sistem federalisme di Malaysia adalah seawal 1896 yang melibatkan negari-negeri Melayu Bersekutu iaitu Selangor, Pahang, Perak, dan Negeri Sembilan sewaktu sistem residen dibawah penjajah British. Sir Frank Swetthenham selaku pegawai tadbir British merasakan negeri-negeri Melayu bersekutu ini perlu disatukan melalui sistem persekutuan bagi melicinkan pentadbiran dan pengurusan ekonomi.

Dalam sudut yang lain, penubuhan sistem Residensi ini bukanlah satu sistem persekutuan tetapi perjanjian persekutuan ini sebenarnya adalah untuk memperluaskan cengkaman kuasa penjajah British di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam pada masa yang sama cuba mencerminkan bahawa penjajah British melindungi kepentingan Melayu. Ini dapat dilihat apabila 5 Perjanjian Persekutuan (Treaty of Federation), dalam artikel 4 menyebut bahawa Monarki bersetuju untuk melantik pegawai British yang dikenali sebagai ‘Residency General’ yang akan mengawal selia segala urusan pentadbiran dan kewangan kecuali dalam hal agama Islam dan adat. Penerimaan sistem residen di empat buah negeri ini memberikan kuasa yang besar kepada British selaku Residen Umum berbanding penasihat British dalam sistem yang lama.

Fasa baru dalam sistem pelaksanaan Federalisme di Malaysia adalah pada tahun 1948, sewaktu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu digunapakai. Perjanjian ini adalah merupakan perjanjian yang menggantikan Malayan Union yang mendapat tentangan hebat daripada penduduk Melayu. Malayan Union merupakan simbol kebangkitan rakyat menentang dasar British dan kemudiannya menjadi titik tolak kepada perjuangan menuntut kemerdekaan. Terdapat tiga intipati penting Malayan Union iaitu mewujudkan kesatuan yang menggabungkan kesemua negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Selat kecuali Singapura. Secara langsung Malayan Union menghapuskan kuasa negeri-negeri dan menggunakan sistem Unitari atau kesatuan. Kedua adalah kesemua negeri yang berada dibawah kesatuan Malayan Union akan diketuai oleh seorang ‘Governor-General’ yang mengawal seluruh pentadbiran Malayan Union dan ini secara langsung mengecilkan kuasa raja-raja Melayu kecuali dalam hal adat dan agama Islam. Intipati Malayan Union ketiga adalah sistem kerakyatan berlandaskan ‘Jus Soli’. Jus Soli adalah pendekatan yang diambil British dalam memberikan kerakyatan kepada mana-mana kaum berlandaskan tempat kelahiran dan tempoh tinggal di tanah Melayu.

Pada 1 April 1946, Edward Gent dilantik menjadi ‘Governor-General’ pertama selepas Harold MacMicheal ditugaskan penjajah untuk mendapatkan persetujuan raja-raja Melayu. Pelaksanaan Malayan Union dan tindakan British membelakangkan raja-raja Melayu menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu. Pelbagai tindakan diambil termasuk penubuhan UMNO dan semua parti serta pertubuhan Melayu bergabung menentang pelaksanaan Malayan Union.

Akibat penentangan ini, penjajah British menghantar 2 orang ahli Parlimen, LD Gammans (Parti Konservatif) dan Kolonel Rus William (Parti Buruh) untuk berbincang dengan pimpinan Melayu dan Raja-Raja Melayu. Hasil dari perbincangan ini cadangan yang dibuat kepada penjajah British adalah untuk mempunyai kerajaan pusat yang kukuh dengan memberi kuasa serta pengiktirafan kepada negeri-negeri Melayu. Akhirnya pada 1 Februari 1948 telah dilaksanakan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang menggunapakai sistem federalisme sebagai sistem pentadbiran antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri[2].

Sehingga Mac 1957, satu suruhanjaya Reid telah ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai langkah penting menuntut kemerdekaan. Antara intipati penting dalam Perlembagaan Persekutan Tanah Melayu yang diketuai oleh Lord Reid adalah untuk mengadakan kerajaan pusat yang kuat dan kukuh disamping kuasa-kuasa negeri yang dijamin perlembagaan, kedudukan raja-raja Melayu sebagai raja berperlembagaan, mengadakan sistem kerakyatan seperti yang dipandukan perlembagaan, dan menjamin kedudukan istimewa orang melayu[3].

Perlembagaan Malaysia terdapat 15 Bahagian dengan 131 Perkara selepas kemasukkan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963. Dalam hal ini, Kerajaan persekutuan diberi kelebihan kuasa berbanding Kerajaan Negeri. Ini dapat dilihat dalam aspek kewangan dan aspek perundangan. Dalam artikel 75 menyatakan bahawa jika undang-undang negeri yang tidak selari dengan undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan akan digunapakai dan undang-undang negeri akan terbatal. Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Malaysia juga telah menggariskan 3 senarai bidang kuasa pusat, negeri dan bersama. Dalam senarai ini, kuasa utama adalah kepada kerajaan pusat selebihnya seperti hal tanah, muzium, perairan dan saliran, agama Islam dan adat adalah dibawah kerajaan negeri. Peruntukkan kewangan pula dalam Perlembagaan Malaysia meletakkan cukai-cukai utama dan sumber kewangan penting negara di bawah kuasa kerajaan pusat seperti yang di peruntukkan dalam Artikel 96-112 Perlembagaan Malaysia.

PERBANDINGAN FADERALISME DI MALAYSIA DAN NEGARA LUAR
Federalisme adalah konsep yang digunakan pakai oleh kebanyakkan negera pasca kolonialisasi. Antara faktor utama adalah kerana sistem ini mampu menyatukan kepelbagaian dalam sesebuah negara seperti yang dinyatakan dalam buku Federalism in Asia oleh Bhattacharrya. Dalam beberapa fakta termasuk yang dinyatakan oleh Guibernau melihat bahawa negara mengamalkan sistem federalisme adalah merupakan sistem yang memenuhi tuntutan kumpulan minoriti dan ideal kepada negara yang mempunyai pelbagai kaum.[4] Ini dapat dilihat dalam beberapa pengamalan faderalisme di Belgium yang berdepan dengan wilayah majoriti berbangsa Flemish dan tuntutan autonomi diberikan berdasarkan pengamalan sistem faderalisme di Belgium. Begitu juga dengan Kanada yang mengangkat sistem faderalisme sebagai sistem yang ideal bagi berhadapan dengan kaum minoriti seperti golongan Quebecois. Di Sepanyol, golongan etnik minoriti Basque, Catelonia dan Galacia menggunakan sistem federalisme ini di Sepanyol bagi memenuhi tuntutan mereka.

Walaupun sebenarnya sehingga hari ini tuntutan dari puak Flemish di Belgium dan puak Quebecois masih menuntut pemerintahan sendiri atau dalam erti kata lain kemerdekaan dari Belgium dan Kanada, tetapi sistem federalisme masih dilihat yang terbaik dan ideal bagi memenuhi tuntutan kaum minority sekaligus mengurangkan konflik dalam negera.

Dalam konteks ini pengamalan federalisme di Malaysia bukanlah didorong oleh memenuhi tuntutan etnik minoriti seperti yang dinyatakan di atas, tetapi Simandjuntak[5] dalam tulisan beliau meletakkan federalisme di Malaysia sebagai sebuah kejayaan kerana federalisme adalah merupakan solusi kepada masalah berkauman  di Malaysia berbanding kegagalan federalisme dalam menyelesaikan masalah perkauman di India Barat.

Federalisme di Malaysia tidak dilihat didorang daripada faktor masalah perkauman tetapi pengalaman federalisme di Malaysia adalah berkait rapat dengan geografi politik negeri yang telah diamalkan sejak sebelum merdeka terutamanya melalui Persekutuan Tanah Melayu 1948. Sebelum Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu diperkenalkan pada 1948, pihak penjajah British cuba untuk menggunakan sistem Unitari di Tanah Melayu melalui Malayan Union 1946-1948. Melalui Malayan Union pihak British cuba menghapuskan kedudukan dan kuasa negeri-negeri termasuk institusi beraja di negeri-negeri. Kuasa raja-raja Melayu termasuk kuasa terhadap tanah nageri dihapuskan kecuali kuasa dalam hal-ewal agama Islam. [6] Akibat tercetusnya penentangan terhadap cadangan Malayan Union ini makalah wujudnya Perjanjuan Persekutan Tanah Melayu pada 1 April 1948 yang menolak sistem unitari dan mengguna pakai sistem persekutuan dengan mengekalkan negeri-negeri Melayu serta kuasa sultan.

Walaupun sistem yang diguna pakai di Malaysia kebanyakkan adalah sistem peninggalan British, tetapi adalah sesuatu yang menarik apabila di dalam Suruhanraja Reid mengguna pakai sistem federalisme berbanding British yang menggunakan sistem Unitari atau kesatuan. Dalam suruhanjaya Reid yang turut disertai oleh wakil dari India, Pakistan dan Australia yang juga mengamalkan sistem federalisme mengiktiraf Tanah Melayu sebagai negara persekutuan, federalisme.[7] Dalam konteks ini Malaysia adalah lebih rapat dengan Amerika Syarikat yang turut mengguna pakai sistem Federalisme berbanding British yang menggunakan sistem Unitari, Kesatuan.

Amerika Syarikat pada awalnya menggunakan sistem konfederasi yang memberikan kuasa besar kepada negeri-negeri di Amerika Syarikat yang akhirnya tercetus pelbagai masalah termasuk peperangan. Akhirnya pada tahun 1787 sebuah Konvensyen Perlembagaan di Philadephia telah diadakan bagi merangka perlembagaan baru Amerika Syarikat. Hasil daripada konvensyen ini Amerika Syarikat telah mengguna pakai sistem baru Federalisme. Berdasarkan penulisan Dr Joseph Fernando, Federal Constitutions: A Comprehensive Study of Malaysia and the United State[8] telah meletakkan bahawa Malaysia dan Amerika Syarikat berkongsi satu persamaan yang utama iaitu memberikan kuasa yang besar kepada kerajaan persekutuan.





[1] Muhammad Agus Yusof, Politik Federalisme di Malaysia, Jati, Bil 7, Disember 2002
[2] Mohammad Agus Yusoff, Malaysian Federalism: Conflict or Consensus: Penerbit Universiti Kebangsaan, Bangi, 2006.
[3] Joseph M Fernando, The Alliance Road To Independence: Universiti Malaya Press, Kuala Lumpur, 2009
[4] Guibernau, M, Nationalisms: The Nation State and Nationalisme in the Twentieth Century, Polity Press, Cambridge, 1996.
[5] Simandjuntak, B. Malayan Federalism, 1945-1963: A Study of Faderal Problem in a Plural Society, Oxford Press. Kuala Lumpur, 1969.
[6] Muhammad Kamil Awang, The Sultan and The Constitution, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998
[7] Joseph M Fernando, The Alliance Road to Independence, University Malaya Press, Kuala Lumpur. 2009
[8] Joseph M Fernando, Federal Constitutions: A Comparative Study of Malaysia and the United States, University Malaya Press, Kuala Lumpur. 2007

0 comments:

 
TouchUp by MohdSyahiran | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Eagle Belt Buckles