Monday, June 23, 2014

ULASAN BUKU ZABA DAN MELAYU

ULASAN BUKU: Adnan Hj Nawang, Za’ba dan Melayu, Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris. 2009

Mohd Saifullah Mohd Zulkifli

Sebuah buku yang telah dihadiahkan oleh seorang sahabat ini memberikan makna yang besar di dalam usaha untuk mengenali usaha-usaha dan perjuangan Zainal Abidin Ahmad yang lahir pada 16 September 1895, atau lebih dikenali sebagai Za’ba. Beliau merupakan pejuang dan cendiakawan Melayu terkenal di dalam mengangkat martabat bangsa Melayu. Beliau juga terlibat secara aktif sebagai pendidik yang memainkan peranan penting di dalam pemikiran politik tanah air.

Tulisan ini akan menilai buku setebal 284 muka surat yang telah di terbitkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 2007. Buku ini pada asalnya adalah merupakan disertasi penulis Dr Adnan Hj Nawang di Jabatan Sejarah Universiti Malaya di bawah penyeliaan Prof Khoo Kay Kim dengan tajuk Pemikiran Za’ba tentang Pemikiran Melayu yang kemudian diolah dan diterbitkan menjadi buku Za’ba dan Melayu.

Buku ini mengandungi tujuh bahagian, dengan topik pertama membicarakan kehidupan awal Za’ba. Bahagian kedua hingga bahagian ketujuh membicarakan soal pemikiran Za’ba sebagai Reformis Islam, konsep pendidikan dan perkembangannya, pembinaan dan kemajuaan bahasa melayu, kemiskinan dan pembelaan ekonomi, gagasan dan perjuangan politik, serta perkembangan kemajuan Melayu.

Buku ini secara ringkas membawa pembaca untuk mengenali Za’ba secara dekat. Za’ba yang mencintai ilmu sejak kecil mempelajari pendidikan awal agama mempunyai minat yang dalam terhadap al-Quran dan kitab-kitab agama. Beliau turut mendapat pendidikan Inggeris di Seremban.

Za’ba semuda umur 20-an telah bergiat menulis rencana dipelbagai akhbar termasuk Utusan Melayu dan makalah seperti al-Ikhwan. Beliau banyak dipengaruh dengan pemikiran kaum muda yang dibawa tokoh sepert Syed Syeikh al-Hadi dan Sheikh Tahir. Gerakan Kaum muda ini secara langsung mencorak pemikiran beliau untuk menolak penjajah dan mengangkat bangsa merdeka serta menolak sistem feudal. 

Buku yang ditulis oleh penulis yang sama bertajuk Za’ba: Patriot dan Pendeta Melayu adalah lebih terperinci dari segi matlumat riwayat hidup pendeta Za’ba jika di banding buku Za’ba dan Melayu. Za’ba dan Melayu secara terperinci lebih membicarakan soal pemikiran dan perjuangan Za’ba mengangkat martabat Melayu.

Buku ini menarik minat kita untuk telusuri pemikiran politik Zaba kerana pandangan politik beliau yang dikatakan bersifat anti feudal, raja-raja melayu, pembesar-pembesar melayu dan juga anti British. Ini disebabkan kedua-dua golongan tersebut dipercayai dengan sengaja membiarkan orang Melayu terus berada dalam serba serbi kemiskinan.

Tulisan Adnan Haji Awang dalam buku Zaba dan Melayu menyatakan kritikan Zaba kepada golongan raja dan pembesar melayu menjadi sangat sinis kerana beliau berpendapat bahawa golongan tersebut telah mengabaikan tangunggjawab mereka dalam menjaga maruah bangsa. Pemerintahan raja-raja melayu sebelum kedatangan British dikatakan sangat kejam. Ini dapat dilihat melalui tulisan beliau :-

"...kena perabadian dan kena picit dan perah dan ramas ditangan pemerintah-pemerintahnya". (al-Ikhwan, 16 April 1927)

Zaba telah bersikap berterus-terang dan berani sekalipun dalam mengemukakan fikiran kritisnya terhadap golongan feudal. Beliau menyedari tentang sikap negatif golongan feudal terhadap soal kemajuan rakyat pada zaman pemerintahan mereka. menurut Zaba, mereka tidak pernah mengambil tahu tentang apa erti politik, bagaimana keadaan bangsa melayu dan sebab-sebab kemunduran dan tidak mahu berusaha mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi oleh anak-anak bangsa mereka.

Sementara itu dalam tulisannya yang lain Zaba cuba memperlihatkan beberapa kelemahan pemerintahan mereka dahulu berbanding dengan pemerintahan kerajaan British. Antaranya dikatakan bahawa Tanah Melayu telah ketinggalan dalam soal ketamadunan. Kenyataan Zaba ini merujuk pembangunan infrastuktur terdapatnya telegraf, telefon, keretapi, elektirik, jambatan besar, dan jalan rata. Keperluan yang lebih penting ialah diadakan sekolah-sekolah Melayu dan Inggeris di seluruh Tanah Melayu.

Adalah malang kepada pembesar dan raja-raja Melayu yang secara sinis dikritis Za’ba yang langsung tidak menunjukkan minat membangunkan pendidikan dan ketamadunan Melayu. Lebih malang golongan ini sanggup bekerjasama dan menjadi tali barut penjajah menggunakan kekayaan tanah air. Za’ba mendakwa raja-raja Melayu pernah menghadiah sejumlah besar yang kepada British untuk membeli kapal perang ‘Her Majesty Ship Malaya’ untuk membantu British menghadapi Perang Dunia Kedua (muka 176)

Seperti yang kita ketahui, Zaba dikenali sebagai pejuang Malayu yang membangkitkan kesedaran penentangan penjajah terutama melalui pendidikan. Zaba mengkritik British, walaupun British membawa pelbagai teknologi yang dianggap asing ke Tanah Melayu. Tindakan Za’ba yang kuat mengkritik penjajah British melalui tulisannya membawa beliau kepada ancaman daripada pihak British. Gaji beliau disekat dan ditukar jabatan beberapa kali. Namun ancaman ini tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berjuang. (muka 181)

Apa yang unik disini adalah apabila kita lihat bahawa sistem monarki yang Za’ba sifatkan sebagai feudalisme itu merugikan masyarakat melayu kerana penyelewengan dan penindasan kepada rakyat. Sesuai dengan bait-bait puisi raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.

Kritik terhadap sistem Monarki disampaikan Za’ba yang digambarkan buku ini barangkali belainan dengan tokoh akademik dalam bidang undang-undang dan perlembagaan iaitu Abdul Aziz Bari yang menulis Buku ‘Politik Perlembagaan: Suatu Perbincangan Tentang Isu-Isu Semasa dari Sudut Perlembagaan dan Undang-Undang’.

Aziz Bari merupakan mantan Profesor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa melihat kepada perspektif sosio politik Malaysia yang memerlukan satu badan yang diluar kerangka politik bagi memastikan keadaan Negara sentiasa terkawal apabila berlaku kacau bilau. Sistem raja berpelembagaan pandangan beliau adalah satu badan apolitik yang tidak berpihak pada mana-mana pihak dan harus berperanan untuk menjamin kestabilan sesebuah Negara.  

Pandangan ini turut dikukuhkan dengan tulisan Prof Ben O Nwabueze dalam bukunya ‘Constitutionalism in the emergent State’ yang membandingkan sistem monarki di Britain yang ditakhtakan oleh Ratu Elizabeth sejak 1952 menyaksikan pertukaran 10 orang Perdana Menteri berbanding Negara Afrika yang mengamalkan sistem republik gagal untuk stabil menerusi demokrasi berparlimen dengan sistem presiden sehingga berlakunya kacau bilau seperti rampasan kuasa dan perang saudara.

Dalam hal kritikan kepada sesetengah sultan yang dilihat korup atau membelakangkan rakyat seperti yang dilontarkan oleh Za’ba turut dijawap Aziz Bari seperti yang dituliskan beliau dalam buku ‘Politik Berlembangaan’. Buku ini menerangkan bahawa kesilapan individu adalah lumrah manusia yang dilakukan semua tidak kira apa kedudukan. Justeru kesilapan moral individu tidak patut dikaitkan pada satu-satu sistem. Sistem beraja dan kesilapan moral adalah dua perkara berbeza.

Dalam konteks ini, apa yang menarik dan wajar untuk kita contohi daripada Zaba adalah dengan melihat insitusi Raja secara objektif dan rasional, bukan secara emosi atau ikutan yang membuta tuli. Walaupun institusi seperti ini dianggap suci dan ‘taboo’ dalam masyarakat Melayu, tetapi apabila konsep-konsep seperti ini membelakangi kedaulatan rakyat dan kesatuan Allah, justeru adalah wajar untuk dilihat kembali secara objektif.

Di dalam konsteks Malaysia pasca Merdeka, kedudukan raja berpelembagaan ini lebih dari sekadar simbol. Di dalam kerangka perlembagaan, sistem raja berperlembagaan turut mempunyai peranan di dalam menstabilkan keharmonian di antara kaum. Seperti contoh pindaan perlembagaan dalam hal-hal keistimewaan orang melayu dan isu berkaitan, meletakkan perlunya mandat kelulusan dari majlis raja-raja.

Za’ba adalah antara golongan cendiakawan intelektual Melayu yang mengangkat martabat ilmu dan pendidikan Melayu. Beliau sedar bahawa susur galur disiplin dan fundamental seperti yang di amal di dalam agama Islam itu yang menjadi perkara pokok kayu ukur, membedakan antara hak dan bathil. Bukan melalui nilai-nilai norma, dan budaya adakalanya sempit dalam hal2 tertentu. Zaba seperti yang telah dimaklum mengkritik institusi Raja kerana disifatkannya sebagai gagal membela hak bangsa melayu dan mengangkat ketamadunan bangsa.

Institusi Raja tidak boleh dianggap sebagai sayap mana-mana parti atau dipolitikkan, sepertimana institusi pendidikan tidak wajar dipolitik-partikan. Raja berperlembagaan adalah institusi rakyat yang menjadi simbol kekuatan rakyat. Masyarakat tidak perlu menunggu pilihanraya umum untuk melihat peranan yang perlu dimainkan oleh institusi raja.

Adalah malang apabila institusi Raja hanya dilihat berperanan untuk memayungi golongan tertentu. Kelompok Ultra Melayu seperti Perkasa dan parti politik haluan nasionalis melayu melihat isu perkauman dan institusi raja adalah benteng terakhir untuk menyelamatkan kuasa politik. Politik sempit yang berasaskan perkauman untuk menakutkan kaum majoriti adalah politik lama yang hanya boleh digunakan di dalam masyarakat yang kurang matlumat.

Institusi Raja juga harus sedar jika berlaku kerosakkan dalam Bangsa Melayu tidak disebabkan oleh bangsa lain, tetapi dirosakkan dengan kepimpinan Melayu yang rasuah dan korup berada di tempat yang tidak sepatutnya seperti yang dikosong oleh Za’ba. Justeru misi untuk menyelamat ketuanan Melayu bukanlah dengan menggunakan sentimen bangsa untuk kepentingan mana-mana parti tetapi mengangkat martabat bangsa Melayu adalah dengan mengangkat pendidikan dan pengetahuan seperti yang diperjuangkan boleh Za’ba.

Sebagai penutup, buku ini memberi iktibar daripada perjuangan Pendeta Zaba mengajar bangsanya agar mengangkat pengetahuan dan pendidikan. Melayu tidak harus bersikap mengikut membuta tuli tanpa ilmu dan fikiran. Tidak perlu bersikap emosi di dalam membicarakan perkara-perkara yang sebenarnya dimomokkan dan didoktrin sebagai Melayu. Apabila dikaitkan dengan hak melayu, ketuanan Melayu tidak boleh dibicarakan. Sebenarnya yang penting adalah Ilmu dan pendidikan.










BIBLIOGRAFI

Adnan Haji Nawang, Za’ba Patriot dan Pendeta Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit: Yayasan Penataran Ilmu. 1994

Adnan Hj Nawang, Za’ba dan Melayu, Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris. 2009

Muhammad Kamil Awang, The Sultan & The Constitution, Kuala Lumpur: Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka. 1998

Abdullah Hussain & Khalid M. Hussain, Pendeta Za’ba dalam  Kenangan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 2000

Abdul Aziz Bari, Politik Perlembagaan: Suatu Perbincangan Tentang Isu-isu Semasa dari Sudut Perlembagaan dan Undang-undang, Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar. 2006                                                    

Benjamin Obi Nwabueze, Constitutionalism in the Emergent State, Michigan: Fairleigh Dickinson University Press. 1973




0 comments:

 
TouchUp by MohdSyahiran | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Eagle Belt Buckles