Monday, November 21, 2005

PEMBERIAN ELAUN DAN INSENTIF MPP UUM


Pemberian elaun kepada Presiden dan Setiusaha serta pelbagai kelebihan lain yang di berikan kepada kabinet Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diumumkan oleh Naib Canselor UUM, Datuk Dr Nordin Kardi minggu lepas.

[ Baca Seterusnya ]

Wednesday, November 16, 2005

Isu Pemakaian Tudung memperlihatkan Masalah Disiplin Pelajar yang Kian Meruncing

Isu Pemakaian Tudung Memperlihatkan Masalah Disiplin Pelajar yang Kian Meruncing.
Isu pemakaian tudung dikalangan pelajar bukan Islam sebelum ini pernah dibangkitkan oleh ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan pada 3 April 2003 yang juga graduan UIAM, kini dibangkitkan semula apabila Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang menerima e-surat daripada oleh seorang graduan bukan Islam Universiti Islam Antarabangsa.
Beliau yang gagal mematuhi tatacara pemakaian yang telah ditetapkan oleh pihak UIAM telah menyebabkan pihak universiti terpaksa membuat keputusan untuk tidak membenarkan beliau untuk menghadiri majlis konvokesyen UIAM.
PKPIM melihat tatacara dan kod pemakaian Pelajar UIAM yang telah termaktup di dalam IIUM Students’ Discipline Rules 2004 guidebook sebagai sesuatu yang sepatutnya dipatuhi oleh semua pelajar yang telah berdaftar di universiti tersebut.
PKPIM meletakkan isu ini bukanlah isu sentimen agama atau hak asasi manusia. Isu ini adalah merupakan isu disiplin yang melibatkan kod etika peraturan yang telah ditetapkan Universiti. UIAM sewaktu graduasi pelajarnya tidak menggunakan topi graduasi seperti yang biasa diamalkan oleh universiti lain, tetapi telah menetapkan untuk menggunakan songkok bagi lelaki dan 'penutup kepala' bagi perempuan sebagai kod pemakaian sewaktu gaduasi.
Kain penutup kepada yang disulami benang emas adalah merupakan suatu kod pemakaian protokol sewaktu majlis Konvokesyen. Pelajar-pelajar yang akan menghadirkan diri di Majlis Konvokesyen perlu untuk mematuhinya sebagai imej graduan yang berdisiplin dan hormat kepada undang-undang. Pelajar-pelajar yang menuntut di universiti tersebut dengan sukarela dan atas permintaan sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak untuk melanjutkan pelajaran di Universiti tersebut. Justeru, wajar untuk mana-mana pelajar dan malahan mana-mana pihak sekali pun untuk patuh kepada undang-undang yang adil. Jika pelajar tersebut berasa tidak dapat mengikut atau patuh kepada undang-undang dan peraturan tersebut, kenapa memilih Universiti Islam Antarabangsa?
Malah pihak universiti di dalam buku panduan kod Pemakaiannya tidak sama sekali menyatakan istilah 'hijab' atau tudung, tetapi pihak universiti telah menggunakan istilah 'head Gear' atau penutup kepala.
Justeru, PKPIM dengan pendirian bahawa kod dan undang-undang sedia ada perlu dikekalkan atas dasar ia adalah merupakan hak universiti untuk menetapkan undang-undang tersebut dan isu ini tidak wajar dipolitikkan dan memberikan kebabasan yang seluas mungkin kepada universiti untuk bergerak dan membuat keputusan.
MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI
Exco Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Thursday, November 10, 2005

RESPON KEPADA CADANGAN PENUBUHAN JAWATANKUASA PEMILIHAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI

Respon Kepada Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Pemilihan Naib Canselor Universiti
Dato Dr Shafie Salleh dalam kenyataannya kelmarin (9 November 2005) mengemukakan cadangan agar di tubuhkan sebuah Jawatakuasa pemilihan Naib Canselor universiti. Cadangan ini dikemukan atas konotasi kepada kemerosotan kedudukan 200 universiti di carta World Universiti Ranking (WUR). Universiti Malaya pada tahun lepas menduduki tangga ke 89 tetapi pada tahun ini menduduki tangga ke 169 manakala USM pada tahun lepas menduduki tangga 111 namun terkeluar pada tahun ini.
Cadangan ini yang katanya telah mendapat persetujuan kabinet dilihat sebagai salah satu langkah utama bagi mengatasi kemerosotan kualiti dan mutu universiti. Bukan sahaja Naib Cancelor malahan setiap ahli akademik seharusnya mempunyai nilai-nilai dan ciri kepemimpinan tinggi, di samping latar belakang akademik kukuh, termasuk dari segi penyelidikan, penerbitan ilmiah serta berupaya menjalin rangkaian hubungan antarabangsa di seluruh dunia.
Namun demikian, cadangan penubuhan jawatan kuasa ini perlu diperinci dan diperhalusi objektif dan pelaksanaannya. Penubuhan Jawatan Kuasa itu perlu dilaksanakan atas dasar untuk memastikan universiti dipimpin tokoh terbilang keilmuannya dan komited menjadikan IPTA itu sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serta penyelidikan terkemuka dunia dan bukan atas dasar yang sempit dengan hanya mengharumkan nama universiti dan bukan kerana obsessi dan keghairahan untuk mendapat angka yang lebih kecil di carta universiti dunia.
Mendokong teguh dasar kebebasan akedemik, pemilihan Naib Canselor mestilah seperti yang telah dinyatakan. Ciri-ciri kepimpinan dan nilai budi yang tinggi selain daripada horizon ilmu yang luas dan latar belakang akedemik yang kukuh.Aspek ini sekali gus menolak unsur-unsur kepartian, lobi-melobi, kronisme dan lain-lain aspek yang mampu untuk merendahkan krediabaliti universiti dan naib canselor.
Selain daripada itu unsur-unsur utalitarian atau dasar pemilihan naib canselor yang terlampau tunduk kepada kehendak pasaran dan industri. Jika unsur Utilitarian ini dilihat sebagai timbang tara yang besar di dalam membuat pemilihan Naib Canselor, ia mampu untuk membantutkan cita-cita dan falsafah universiti. Falsafah universiti yang penuh dengan cita-cita tinggi dan gagasan besar sudah tentu tidak sama dengan falsafah pasaran dan industri yang lebih tertumpu kepada aspek keuntungan 'profit oriented'.
Pandangan yang dilontarkan oleh Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr Muhammad Rais Abdul Karim mengatakan bahawa peranan jawatankuasa pemilih itu dapat mengenal pasti calon naib canselor dan rektor IPTA yang berpotensi dari skop lebih luas, yakni tidak hanya terbatas kepada golongan tertentu saja perlu disamabut baik. Namun diharap agar pemilihan naib canselor ataupun rektor itu tidak tersasar jauh dengan memilih golongan yang tidak sepatutnya dan golongan yang tidak dapat menghayati misi serta visi universiti.
Mengambil kata-kata Prof Diraja Ungku Aziz, Univerisiti dahulu dinaungi oleh Naib Canselor yang umpama pepohon yang rendang. Sikap dan ciri-cirinya amat melindungi dan membina. Pepohon rendangan ilmu dan budi membina generasi mahasiswa yang mampu mengangkat martabat bukan sahaja universiti malahan negara. Namun kini, Prof Diraja Ungku Aziz mengibaratkan universiti seperti 'politizing the non-partisan instituition'. Terlampau banyak pengaruh politik bukan sahaja di kalangan mahasiswa, malahan ahli akedemik dan pentadbiran universiti.
Di Akhir tulisan ini,secara tuntasnya penulis ingin meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat kegemilangan ilmu dan budi generasi, maka ejen utama kepada matlamat itu adalah universiti. Jika universiti sebagai ejen utama pelaksanaan korup dan tercemar maka sudah tidak ada lagi institusi lain yang boleh diharapkan untuk membina generasi. Maka, dengan penubuhan Jawatankuasa ini diharap dapat membuat pemilihan Naib Canselor dan Rektor universiti sebaik mungkin serta menjayakan hasrat besar itu.
MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI
FORUM LORONG TENGAH (FOR-LOT)
Lima Faktor Mantapkan Status Universiti Tempatan
Oleh Prof Dr Zaini Ujang
SEKTOR pengajian tinggi kita sekali lagi dikejutkan apabila World University Rankings (WUR) 2005 oleh QS Quacquarelli Symonds and Evidence Ltd dari Britain, menempatkan Universiti Malaya (UM) pada tangga ke-169, berbanding 89 pada 2004.
Kali ini, sebuah lagi institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) terkeluar daripada senarai 200 universiti terbaik dunia dan IPT lain, walaupun mendakwa bertaraf dunia, nampaknya masih belum menyinar. Banyak persoalan dan kemusykilan yang timbul menerusi laporan WUR 2005 dalam The Times Higher Education yang diterbitkan di London baru-baru ini. Ada di antara kita yang begitu protektif dengan menegaskan pencapaian UM sebenarnya semakin baik dari segi markah, walaupun kedudukannya menjunam sekali ganda.
Bagaimanapun, ramai juga yang reaktif, khususnya beberapa bekas pelajar UM dan USM yang dilaporkan media meminta kerajaan melaksanakan tindakan drastik untuk memulihkan imej pengajian tinggi di Malaysia. Apapun reaksi kita, masih banyak yang perlu kita mantapkan dan laksanakan untuk membolehkan universiti kita berada sebaris dengan universiti yang ketika ini menjadi jenama pengajian tinggi seperti Harvard, Oxford dan Cambridge.Sebenarnya, ada lima persoalan pokok yang perlu ditangani segera.
Pertama, konsep dan penanda aras kualiti. Semua pihak mungkin bersetuju jika dikatakan kualiti adalah teras kepada pengajian tinggi dan penanda aras utama dalam WUR. Kualiti dalam konteks pengajian tinggi menjurus kepada proses dan budaya pemantapan ilmu dalam komuniti akademia, termasuk profesor, penyelidik, pelajar dan staf sokongan. Hal ini sangat signifikan yang membabitkan keupayaan setiap pelopor bidang (biasanya profesor) menguasai bidang pengkhususan masing-masing pada tahap tertinggi yang diiktiraf rakan sejawatan di serata dunia. Persoalannya, apakah penanda aras seseorang profesor atau pensyarah itu sudah mencapai tahap tertentu?
Pada pengamatan saya, sehingga hari ini persoalan ini masih agak kabur dalam konteks pengurusan kualiti pengajian tinggi di Malaysia.Ada yang berpendapat pencapaian itu seharusnya diukur menerusi kelayakan akademik dan profesional. Maknanya, seseorang pensyarah perlu mendapat ijazah PhD dan status Jurutera Profesional dalam konteks kejuruteraan sebagai contoh bagi menunjukkan keupayaannya menguasai sesuatu bidang ilmu. Apakah itu mencukupi?Ada pula yang berpendapat kualiti berkait rapat dengan proses kerja seperti dilakukan menerusi ISO dan prosedur seumpamanya. Persoalannya, apakah nama-nama besar dalam senarai 200 universiti terbaik 2005 itu mempunyai ISO? Malah, Oxford sebelum ini pernah bercadang melaksanakan prosedur kualiti seumpama ISO tetapi mendapat bangkangan keras komuniti akademik di universiti tertua di England itu. Namun tanpa ISO, Oxford tetap antara lima universiti terbaik dunia.Justeru, apakah penanda aras kualiti yang diterima pakai oleh kebanyakan universiti yang tersenarai dalam 200 terbaik itu? Apakah penanda aras itu sama dengan enam kriteria yang digunakan untuk merangka WUR?
Isu kedua ialah kebebasan akademik. Dalam konteks semasa, kebebasan akademik bermakna keputusan berkaitan pembangunan dan perancangan bidang akademik seharusnya bebas daripada pengaruh politik, birokrasi yang terlalu mengongkong, partisan, individualisme dan egoisme. Dalam akademia, nilai ilmu sepatutnya menjadi neraca teratas dalam menentukan setiap keputusan, sama ada dari segi penentuan arah dan strategi pemantapan bidang, kepemimpinan akademik dan hal berkaitan seperti kenaikan pangkat dan pengurusan sumber.
Kebebasan akademik di Malaysia memang subur, tetapi masih jauh berbanding universiti ternama apabila profesor diberi mandat sepenuhnya dan kebebasan menguruskan sendiri disiplin ilmu dan dana dalam bidang yang mereka terokai.Mereka tidak perlu mendapat keizinan Naib Canselor terlebih dulu untuk memberi kuliah perdana, menghadiri persidangan antarabangsa atau menjadi perunding kerajaan di luar negara, apatah lagi keizinan Kementerian Pengajian Tinggi!
Malah, perjanjian mengenai geran dan dana penyelidikan peringkat antarabangsa adalah antara profesor berkenaan dengan pihak terbabit, bukan dengan pentadbir universiti dengan keizinan Lembaga Universiti dan diluluskan Menteri Pengajian Tinggi seperti yang kita amalkan.Hal ini nampaknya isu kecil bagi sesetengah pihak yang tidak aktif dalam penyelidikan, penerbitan dan komuniti saintifik, tetapi ia memberi kesan besar kepada pengurusan sumber dan masa di kalangan akademik tempatan. Kadangkala, sebahagian besar masa diperuntukkan untuk mengurus dan mengendali proses mendapat kelulusan, bukan untuk melaksanakan program dan projek penyelidikan.Mungkin inilah antara faktor utama menyebabkan ramai profesor senior di universiti tempatan tawar hati untuk terus menjadikan bidang penyelidikan sebagai teras aktiviti kerjaya kerana pelbagai kekangan birokrasi dan prosedur melelahkan.
Sebagai penyelidik, seseorang itu sebenarnya berada pada tahap terbawah dalam proses kerja dan hirarki sesebuah universiti di Malaysia, walaupun bergelar profesor. Maka ramai yang mencari jalan keluar sama ada dengan menjadi pentadbir atau pengurus akademik dengan hal remeh-temeh itu tidak lagi dilakukan, malah dibekalkan pula dengan pelbagai kemudahan dan status yang jauh lebih lumayan.Isu ketiga ialah kualiti pelajar. Semua universiti ternama hanya menerima kemasukan pelajar cemerlang untuk mengikuti pelbagai program akademik ditawarkan.
Pelajar cemerlang adalah ‘bahan mentah’ terbaik untuk menghasilkan produk berkualiti bagi sesebuah universiti. Ketika ditanya kepada seorang profesor tersohor dari Harvard mengenai rahsia universiti itu berjaya memartabatkan reputasinya sebagai sebuah universiti terbaik dunia, jawabnya: “Calon pelajar Harvard adalah di kalangan yang cemerlang. Jika tidak mengikuti kuliah pun mereka boleh lulus dengan cemerlang di Harvard!”Ini bermakna, tanpa pelajar cemerlang, sukarlah universiti tempatan menandingi Harvard atau Massachusetts Institute of Technology (MIT) yang menerima ribuan pelajar cemerlang dari serata pelosok dunia.
Penghantaran pelajar cemerlang Malaysia ke universiti luar negara juga secara tidak langsung memberi isyarat negatif bahawa universiti di Malaysia masih jauh ketinggalan dan hanya sesuai untuk mereka yang kurang cemerlang.Oleh itu, dicadangkan supaya semua pihak khususnya pengurus dana dan biasiswa seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mara, mengambil pendekatan lain menguruskan pelajar cemerlang. Objektifnya adalah serampang dua mata dengan memanfaatkan pelajar cemerlang yang ada untuk meningkatkan lagi kualiti sumber manusia khususnya di universiti tempatan dan menjadikan universiti tempatan lebih cemerlang dari segi pencapaian dan reputasi.
Strateginya adalah dengan menawarkan pakej biasiswa dan peluang kerjaya terbaik kepada pelajar cemerlang untuk belajar di universiti tempatan, misalnya pakej geran RM100,000 termasuk program musim cuti dan perpindahan kredit di universiti ternama luar negara setiap tahun.
Isu keempat ialah memanfaatkan program pengantarabangsaan. Pengantarabangsaan dalam konteks akademik berkait rapat dengan persefahaman antara pelopor sesuatu bidang dalam aspek kerjasama penyelidikan, penerbitan, penganjuran seminar dan mesyuarat saintifik serta pertukaran pelajar pasca-siswazah melakukan penyelidikan dalam dua keadaan berbeza. Bagaimanapun, saya mencadangkan supaya program pengantarabangsaan dilakukan lebih berhemah kerana jangan sampai kita digolongkan sebagai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, apatah lagi dengan Harvard, MIT, Cambridge dan Oxford.
Isu kelima ialah faktor rakan sejawatan pada peringkat antarabangsa. Tidak seperti kerjaya lain, kerjaya akademik bergantung kepada penilaian rakan sejawatan dari segi kenaikan pangkat, penerbitan dalam jurnal dan persidangan, pemilihan sebagai editor jurnal dan pengerusi persidangan.
Oleh itu, pandangan rakan sejawatan dalam bidang yang sama perlu diambil kira dengan serius oleh pihak pengurusan universiti, khususnya dari segi kenaikan pangkat. Di Malaysia, ada kecenderungan di kalangan pentadbir beberapa universiti baru tidak mengambil kira pandangan rakan sejawatan dari universiti lain untuk kenaikan pangkat ke tahap profesor. Jika ini tidak dilakukan, kita terlepas peluang untuk mendapat pengiktirafan pertama dari segi kelayakan akademik. Ia juga menyebabkan seseorang profesor baru ‘tidak muncul’ dalam arena kerana kehadirannya tidak diketahui atau tidak diiktiraf oleh tokoh dalam bidang berkenaan.
Saya yakin jika penilaian rakan sejawatan dijadikan faktor utama khususnya dari segi kenaikan pangkat, seperti dilakukan semua universiti ternama di luar negara, status dan reputasi akademik di Malaysia akan lebih menyerlah.Kelima-lima faktor ini perlu dimantapkan di Malaysia. Memang ada universiti kita yang sudah melaksanakan sebahagian besar cadangan ini, tetapi ia perlu terus disuburi, dihayati dan dibudayakan.Sesungguhnya, enam kriteria yang digunakan dalam merangka WUR 2005 iaitu penilaian rakan sejawatan, nisbah pensyarah kepada pelajar, rujukan kepada penerbitan, jumlah staf asing, jumlah pelajar asing dan pendapat majikan adalah manifestasi kepada satu proses pembudayaan ilmu yang mantap dalam sesebuah universiti.
Untuk berada pada tangga atas dalam senarai 200 universiti terbaik, kita tidak boleh mengambil jalan pintas seperti memberi tumpuan dan meningkatkan angka serta peratus terhadap enam kriteria dinilai. Dengan strategi demikian, kita sebenarnya bukan meningkatkan kualiti pengajian tinggi, sebaliknya meningkatkan kedudukan dalam senarai WUR yang pastinya tidak akan bertahan lama. Teras kualiti pengajian tinggi ialah budaya ilmu yang sebenarnya tidak akan dapat dihitung dengan nombor atau angka, tetapi dapat dirasakan dengan penghayatan dan iltizam sepanjang hayat.
Penulis ialah Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air (IPASA) di Universiti Teknologi Malaysia dan Editor Jurnal Water Science & Technology (London)

Wednesday, November 09, 2005

Profail Ringkas Blogger

SAIFULLAH ZULKIFLI

::Graduan UIA dlm jurusan Sains Politik dan Ilmu Wahyu

::Universiti kedua adalah gerakan mahasiswa menerusi PKPIM

::Kini di AMK Pusat dan AMK Selangor

::Bekas Setiausaha Politik ADUN Seri Setia

::Kini di Yayasan Selangor dan Koordinator Siswazah Muda dan Mahasiswa DSAI.

Konvensyen Mahasiswa Nasional (KONMAS)


Konvensyen Mahasiswa Nasional yang di anjurkan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia setiap tahun atas dasar kesedaran yang tinggi generasi mahasiswa abad 21 memperjuangkan isu-isu pendidikan dan bahasa, sebagai aspek penting kepada dasar pembangunan negara.
PKPIM daripada awal penubuhannya di era 60-an tidak pernah mati rasa dan mati perjuangan di dalam mengangkat matabat bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa perantara utama dasar pendidikan kebangsaan.
PKPIM secara teguh dan tuntas menolak pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Semua pihak termasuk sekolah jenis kebangsaan dan pihak berkuasa perlu sedar bahawa aspek bahasa menjati elemen penting di dalam membina identiti masyarakat malaysia. dasar bahasa juga adalah merupakan ejen penyatu pelbagai kaum di Malaysia yang semua kaumnya menggunakan bahasa yang sama antara satu sama lain.
Dengan Izin Allah yang Maha Esa, pada tahun ini PKPIM akan sekali lagi menganjurkan Konvensyen Mahasiswa Nasional sekitar bulan 12 di Johor. Sebarang matlumat lanjut boleh layari www.pkpim.net atau hubungi menerusi email saifullahul_maslul@yahoo.co.uk

KEMBALI KEPADA BAHASA MELAYU SEBAGAI PENYELESAIAN PENDEBATAN ISU BAHASA PENGANTAR SAINS DAN MATEMATIK


KEMBALI KEPADA BAHASA MELAYU SEBAGAI PENYELESAIAN PENDEBATAN ISU BAHASA PENGANTAR SAINS DAN MATEMATIK

Sejajar dengan apa yang telah dinyatakan oleh Pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO, Ahmad Ikmal Ismail berhubung dengan isu pendebatan penggunaan Bahasa Ibunda dalam mata pelajaran Sains dan Matematik yang ditimbulkan oleh Parti Gerakan berkata, semua pemimpin parti komponen BN perlu menunjukkan komitmen dan pendirian yang selari dengan kerajaan. Parti Komponen BN juga perlu berada pada barisan hadapan dengan memberi penjelasan dan mempromosikan dasar itu ke peringkat akar umbi. Beliau juga mengeluarkan teguran keras kepada Gerakan kerana keputusan itu telah disepakati bersama.
Namun demikian kesepatan yang dinyatakan tercalar dengan kenyataan Timbalan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pada hari Isnin yang lepas bahawa isu bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda masih menjadi teras perjuangan Gerakan sejak 2002. Katanya, pembelajaran dalam bahasa ibunda adalah lebih selesa dan mudah difahami kerana murid-murid sudah biasa dengan penggunaannya.
``Walaupun Gerakan menyokong penuh pembelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa yang perlu dikuasai oleh setiap rakyat, namun untuk memperbaiki tahap pencapaian dalam bidang sains dan teknologi, penggunaan bahasa Melayu, Cina atau Tamil dirasakan lebih berkesan,'' katanya.
Respon yang berbeza pula dinyatakan oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Rahman Arshad apabila isu ini dipersoalkan dengan hak. Beliau berkata berkata, jika isu hak dijadikan alasan, Sekolah Kebangsaan (SK) sebenarnya lebih berhak memperjuangkan penggunaan Bahasa Melayu. Tambahan pula katanya, Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang dijadikan bahasa semua kaum di negara ini.
Bersetuju dengan apa yang telah dilontarkan olehTan Sri Abdul Rahman Arshad bahawa semua pihak perlu sedar Bahasa Melayu yang telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957 yang kemudiannya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa penghantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian dalam Akta Pendidikan 1996.
Kini isu penggunaan bahasa di dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) perlu dilihat bukan hanya melalui perspektif sebagai isu pemantapan pembelajaran dan pembangunan pelajar semata-mata, tetapi ianya juga perlu dilihat sebagai isu permuafakatan dan menyantuni semua kaum di Malaysia. Melalui perspektif ini Bahasa Melayu adalah diyakini dapat menjadi ejen penyatu dan permuakatan yang mampu menyantuni semua golongan dan kaum di Malaysia.
Aspek penggunaan bahasa di dalam dasar pendidikan rata-rata menjadi isu besar di dalam pembinaan Negara-Bangsa. Mengambil pengalaman Negara jiran Singapura, bekas perdana menterinya Goh Chok Tong (Addressing The Nation, Julai 1997). Beliau berkata, “Setelah 25 tahun melaksanakan pendidikan dalam bahasa inggeris, maka mereka telah mewujudkan satu generasi muda yang tidak lagi menganut nilai-nilai China Timur”. Penggunaan bahasa di dalam dasar pendidikan secara jelas mampu untuk memberikan kesan yang besar di dalam pembinaan sebuah Negara-Bangsa dan jati diri masyarakatnya.

Malaysia jangan sampai masyakatnya sudah tidak punya jati diri dan ketandusan nilai-nilai ketimuran kerana keghairahan pelaksanaan Bahasa Inggeris. Begitu juga masyarakat melayu malahan tidak keterlaluan jika dinyatakan bukan semua golongan di dalam kaum Cina dan India bersetuju dengan penggunaan Bahasa Ibunda di sekolah jenis kebangsaan. Justeru, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat adalah merupakan jalan tengah yang terbaik sebagai jalan penyelesaian pendebatan.


­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­
MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI
Forum Lorong Tengah (FOR-LOT)

 
TouchUp by MohdSyahiran | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Eagle Belt Buckles