Pengaruh Bugis dan Pengasasan Kesultanan Selangor
MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI
Universiti Malaya
Pengaruh Bugis di Selangor
Pada kurun yang
ke-17, orang-orang Bugis dari Tanah Bugis (Sulawesi), didapati sudah lama bermaustatin
di negeri Selangor. Pada bulan Januari
tahun 1682 adik Sultan Kedah meminta kebenaran Belanda untuk meminta bantuan
orang-orang Bugis untuk melawan abangnya
Sultan Kedah dan telah menyatakan dua buah kapal dan tiga ratus orang Bugis
dari Selangor membantunya . Dalam keterangan tersebut nyatalah menunjukkan pada
kurun yang ke-17 orang Bugis telah ramai mendiami negeri Selangor.
Pada awal kurun
masihi yang ke -18, Opu Daing lima bersaudara telah pergi mengembara ke merata
tempat, dan telah sampai ke perairan Kerajaan Johor-Riau. Lima bersaudara ini
ialah Daing Perani,Daing Menambun, Daing Merewah, Daing Chelak dan Daing Kemasi
.Kesemuanya adalah putera Raja Bugis yang bernama Daing Rilakkek.[1]
Pada tahun 1728,
Daing Merewah Kelana Jaya Putera yang
memegang jawatan sebagai Yamtuan Muda Johor I dari Riau telah
datang ke Selangor bersama orang Bugis
bagi membantu adik Sultan Perak di Bernam untuk menyerang abangnya Sultan Perak
iaitu Sultan Alauddin Mughayat Shah pada masa itu Sultan Perak ke-12.
Kemudiannya,Daing Marewah balik semula ke Selangor dan terus pulang ke Riau.
Daing Meraweh telah mangkat di Riau dan digantikan oleh adiknya Daing Chelak
sebagai Yamtuan Muda Johor-Riau II.[2]
Pada tahun 1740,
Daing Chelak bersama-sama angkatan tentera dari Riau datang ke Selangor dan
berperang dengan angkatan Daing Mateko yang dikatakan membuat kekacauan di
Selangor. Akhirnya Daing Mateko mengalami kekalahan dan lari ke Siak dan sejak
itu Daing Chelak kerap berulang-alik dari Riau ke Selangor.
Pada tahun 1742,
Daing Chelak datang ke Selangor dan membawa orang-orang Bugis dari Selangor
pergi menyerang negeri Perak yang pada masa itu di bawah pemerintahan Sultan
Muzaffar Shah III. Pada masa itu, Yang Dipertuan Muda Perak berselisih faham
dengan abangnya Sultan Perak. Orang-orang besar Perak menyebelahi Yang
Dipertuan Muda dan orang-orang Bugis datang lalu mengangkat Yang Dipertuan Muda
sebagai Sultan dan bergelar Sultan Muhammad Shah. Bermulalah Kesultanan Perak
berpecah kepada dua pemerintah, Sultan Muzaffar Shah memerintah bahagian utara
manakala Sultan Muhammad Shah memerintah di bahagian selatan.
Daing Chelak
menetap di Perak agak lama dan akhirnya beliau pun kembali ke Selangor dan
pulang ke Riau. Ketika Daing Chelak berada di Kuala Selangor, penduduk Kuala
Selangor memohon kepada beliau supaya terus menetap di situ. Walau bagaimanapun,
hasrat Daing Chelak untuk terus menetap di Selangor ditolak Sultan Sulaiman dan
kemudian Daing Chelak telah mengambil tindakan untuk menamakan salah seorang
daripada puteranya iaitu Raja Lumu untuk datang ke Selangor.
Pada tahun 1745,
Daing Chelak mangkat di Riau dan meninggalkan dua orang putera dan seorang
puteri iaitu Raja Haji di Riau dan Raja Lumu di Selangor. Daing Kemboja telah
diangkat menjadi Yamtuan Muda Johor-Riau III memandangkan Raja Lumu pada masa
itu terlalu muda dan belum dewasa.
Pembesar 4 Selangor
Sistem
pentadbiran Empat orang datuk yang lebih dikenali dengan nama Dato Empat Suku
digunapakai sebelum Raja Lumu ditabalkan menjadi Sultan Selangor. Empat orang
dato adalah seperti berikut:-
Kuala Selangor
ditadbir oleh Datuk Penggawa, Langat oleh Datuk Aru, Ulu Langat dipimpin oleh
Datuk Engku Klang dan Klang pula ditadbir oleh Datuk Kecil Yang Tujuh (Anak
Encik Kuning) yang menggelar dirinya Orang Kaya Klang dan Datuk Engku Klang,
selaku pemimpin utama ketika itu. Setelah empat keturunan dari Datuk Engku
Klang iaitu di zaman Datuk Engku Naga Menghulur, ketika inilah rakyat berkehendakkan
seorang raja sebagai ‘Payung’. Oleh kerana ketika itu Selangor berada dalam
pengaruh Bugis, maka keempat-empat Datuk pun bermuafakat telah memutuskan untuk
menjemput seorang raja sebagai penaung dikalangan anak Raja Bugis.
Datuk berempat
telah sepakat untuk meletakkan anak Raja Gowa yang bernama Arung Pasarai dalam
tahun 1700 dengan ditabal oleh Datuk Engku Klang dan menyerahkan mohor sebagai
Yam Tuan Besar Selangor. Arung Pasarai mangkat pada tahun 1723, kemudian
digantikan oleh adindanya yang bernama Raja Siti. Raja Siti mangkat dalam tahun
1743 tidak meninggalkan seorang zuriat. Oleh kerana inilah Yang Di-Pertuan Muda
Johor-Riau II, Daing Chelak Ibni Daing Rilaga melantik anaknya, Raja Lumu
sebagai Yang Dipertuan Raja Kecil Jajahan Selangor agar dapat mengisi
kekosongan Yam Tuan Besar Selangor.
Pertabalan Raja Lumu sebagai Sultan
Selangor
Menurut Misa
Melayu menyatakan Raja Selangor, Raja Lumu datang ke negeri Perak dengan
kehendak dirinya sendiri. Setelah selesai Sultan Mahmud Shah, Sultan Perak bermesyuarat
bersama pembesarnya, maka barulah Raja Lumu dibenarkan masuk ke dalam negeri
Perak. Hal ini menunjukkan bahawa Raja Lumu bukannya dijemput oleh Sultan Perak
tetapi datang dengan kehendak sendiri. Sumber Misa Melayu turut mengambarkan
Raja Lumu datang ke Perak untuk menghambakan diri kepada Sultan Mahmud Syah.
“ Maka pada fikiran kita sekarang ia sudah
datang ke negeri kita berhambakan dirinya kepada kita maka sekarang ini baiklah
kita beri nobat sekali. ”[3]
Para pembesar
Sultan Mahmud bersetuju dengan cadangan tersebut kerana hal ini dapat
menunjukkan kebesaran serta meningkatkan lagi kemasyhuran Sultan dan negeri
Perak. Sebelum hari pertabalan segala persiapan pertabalan dibuat seperti
membuat gendang nobat dengan selengkapnya untuk dihadiahkan oleh Raja Lumu pada
hari pertabalan. Raja Lumu ditabalkan di Kota Lumut Perak dengan adat dan
dihadiahkan nobat serta dianugerahkan cap mohor. Raja Lumu kemudiannya diberi
gelaran sebagai Sultan Salehuddin.[4]
Setelah
dinobatkan sebagai Sultan Selangor pertama, setelah lama berada di Perak
baginda bermohon pulang ke Selangor. Sultan Perak mengarahkan seorang menteri
dan anak raja yang bernama Raja Alang untuk mengiringi Sultan Salehuddin pulang
semula ke Selangor. Selepas itu, majlis seterusnya di lakukan pula di Selangor.
Berbeza pula dengan naskah yang dikarang Raja
Ali Haji. Menurut Tuffat al Nafis karangan Raja Ali Al Haji:-
“…disitu
ketika Tengku Raja Selangor (Raja Lumu) pergi bermain ke Pulau Pangkor, Raja Lumu
dijemput oleh Yang Di-Pertuan Perak untuk mengadap.”[5]
Dalam perundingan di antara kedua pihak itu
bersetuju melantik Tengku Raja Selangor menjadi Yang Di-Pertuan Besar Selangor
digelar Sultan Salehuddin. Kemudian Sultan Salehuddin pun berangkat pulang ke
Kuala Selangor diiringi sendiri oleh Yang Dipertuan Besar Perak. Setelah sampai
ke Kuala Selangor Sultan Salehuddin pun ditabalkan dihadapan rakyat Selangor
dengan penuh istiadat.
Berdasarkan
kedua-dua sumber besar dalam sejarah melayu ini jelas sepakat bahawa Raja Lumu
ditabalkan sebagai Sultan Selangor dengan gelaran Sultan Salehuddun di Perak
oleh Sultan Perak. Walaupun terdapat beberapa perbezaan versi dari segi
teknikal bagaimana Raja Lumu ditabalkan. Begitu juga buku yang ditulis oleh
Barbara Watson Andaya, Perak:The Abode of
Grace, terbitan Oxford University Press 1979. Menyebut Raja Kimas atau
Sultan Mahmud Shah Perak yang mengistiharkan Raja Lumu sebagai pemerintah
Selangor yang bebas dari pengaruh Johor[6].
Perbezaan ini dapat dilihat dalam versi Misa Melayu jelas menunjukkan Raja Lumu
yang berhajat untuk ditabalkan oleh Sultan Perak manakala dalam versi Tuhfat
al-Nafsi yang cenderung kepada bugis menulis bahawa Raja Lumu sedang bersantai
di Pangkor dan kemudianya diundang oleh Sultan Perak untuk menghadap.
[1] Abdullah
Zakaria Ghazali, “Daeng Chelak bin Daeng
Rilekkek: Menelusuri Matlumat daripada Teks Melayu”, Jurnal Sri Alam,
Jurnal Lembaga Muzium Selangor Darul Ehsan, Bil 8, 2004.
[2] Raja
Ali Haji, Salasilah Melayu dan Bugis,
Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, 1984.
[3] Ahmad
Fauzi Mohd Basri (diselenggarakan oleh), Misa
Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992.
[4] Buyong
Adil, Sejarah Selangor, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.
[5] Matheson,
V, Tuhfat al-Nafis, Petaling Jaya:
Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, 1982.
[6] Andaya,
BW, Perak: The Abode of Grace, Kuala
Lumpur: Oxford University Press, 1979.
0 comments:
Post a Comment