Sunday, June 29, 2014

FEDERALISME DAN PENGAMALANNYA DI MALAYSIA - Bhgn 2

ISU SEKITAR FEDERALISME DI MALAYSIA

Sistem faderalisme sewaktu zaman pentadbiran Tunku Abdul Rahman berdepan dengan beberapa isu. Ini melibatkan hubungan antara kerajaan Pusat dan kerajaan negari yang dipimpin oleh dua parti yang berbeza. Pacsa pilihanraya 1959 memperlihatkan pentadbiran Kelantan dibawah PAS dan kerajaan pusat dibawah Parti Perikatan. Akibat daripada haluan politik yang berbeza pihak kerajaan pusat enggan bekerjasama dengan kerajaan negeri, begitu juga sebaliknya pihak kerajaan negeri tidak mahu menerima bantuan kerajaan pusat kerana tidak mahu dilihat dikawal pihak kerajaan pusat. Pihak kerajaan pusat enggan memberikan peruntukan kewangan kepada kerajaan negeri malah telah menubuhkan Kelantan State Land Development Authority (KSLDA) bagi mengenepikan kerajaan negeri dalam soal pembangunan tanah di Kelantan. Satu lagi konflik yang timbul adalah kerana keengganan pihak kerajaan pusat membiaya kos pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra yang akhirnya pihak kerajaan negeri terpaksa membayar sendiri kos pembinaan jambatan tersebut.

Kerajaan negeri Kelantan juga mempunyai pengalaman menyaman kerajaan pusat di dalam kes kemasukkan Sabah, Sarawak dan Singapore ke dalam pembentukkan Malaysia. Konflik yang dibawa ke mahkamah ini, Government of the State of Kelantan vs The  Government of Federation of Malaya and Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, 1968 MLJ 322 kerana pihak kerajaan negeri Kelantan berpendapat kemasukkan Sabah, Sarawak dan Singapura tidak mendapat persetujuan daripada negeri-negeri termasuk Kelantan. Namun, keputusan mahkamah memberikan kemenangan kepada pihak kerajaan persekutuan kerana kerajaan pusat mempunyai kuasa untuk memasukkan mana-mana negeri ke dalam Malaysia tanpa persetujuan kerajaan negeri yang lain.

Krisis federalisme sekali lagi timbul apabila pihak kerajaan pusat tidak memberikan peruntukkan kewangan kepada kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1968.  Ini diakibatkan oleh pihak kerajaan negeri Kelantan tidak berunding terlebih dahulu dengan pihak kerajaan pusat dalam Bajet Kerajaan Negeri 1968. Ini berlaku setelah pilihanraya 1964 kerajaan negeri Kelantan mengambil sikap berkerjasama dengan pusat dan kerajaan Pusat bersetuju memberikan peruntukkan kewangan serta pinjaman kepada kerajaan negeri Kelantan sebanyak 1 Juta ringgit. Dari pinjaman ini, kerajaan pusat meletakkan beberapa syarat termasuklah keperluan untuk rundingan terlebih dahulu dalam perangkaan bajet kerajaan negeri. Krisis kewangan kerajaan negeri ini menunjukkan betapa besarnya kuasa kewangan yang diperuntukkan oleh perlembagaan Malaysia seperti yang dibincangkan diatas.

Peruntukkan perlembagaan dalam Perkara 111(2) dibuktikan melalui kes Government of Malaysia vs Government State of Kelantan (1968), MLJ 223 apabila kerajaan mendapat kewangan daripada syarikat swasta Timbermine Industrial Corporation Co Ltd yang dianggap sebagai pinjaman kewangan oleh pihak kerajaan persekutuan. Seperti yang telah dibincangkan diatas, dalam perkara 111(2) Perlembagaan Malaysia menyatakan pihak kerajaan negeri tidak dibenarkan untuk meminjam wang dari mana-mana pihak tanpa mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan Pusat. Namun demikian pihak mahkamah persekutuan tidak menganggap perjanjian kewangan ini sebagai satu pinjaman dan secara langsung tidak melanggar perkara 111(2)[1]

Dalam zaman pentadbiran Tun Razak (1970-1976) dan Tun Hussien Onn (1976-1981) tidak ada krisis yang besar melibatkan faderalisme kerana ketika Tun Razak, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berada bersama Barisan Nasional bagi membentuk kerajaan campuran. Namun krisis dalaman Barisan Nasional pasca Pilihanraya Umum 1974 akibat daripada perlantikan Dato Muhammad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan yang akhirnya mengakibatkan PAS ditendang keluar daripada Barisan Nasional pada tahun 1977.
Zaman pemerintahan Dr Mahathir menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat mahupun politik Malaysia. Pendekatan pentadbiran beliau yang dianggap berpusat kepada kerajaan persekutuan dan autokratik telah menimbulkan pelbagai krisis dalam politik Malaysia. Krisis perlembagaan 1983 dan 1993 adalah yang paling ketara selain pencabulan hak asasi manusia termasuk dalam kes pembunuhan Ibrahim Libya dan pengikutnya di Baling. Begitu juga krisis dalaman UMNO yang berpecah kepada UMNO baru dan Semangat 46’ menghasilkan Angkatan Perpaduan Ummah manyapu bersih kerajaan negeri di Kelantan dalam pilihanraya umum 1990.

Titik tolak penting dalam sejarah politik Malaysia adalah apabila Dato Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO dengan tuduhan rasuah dan liwat mengakibatkan kebangkitan rakyat Reformasi 1998. Kesan daripada Reformasi 1998 adalah Barisan Alternatif Berjaya menawan Kerajaan Negeri Terengganu dan mengekalkan kuasa Kerajaan Negeri Kelantan. Krisis federalisme sekali lagi timbul pasca Pilihanraya Umum ke-9 ini. Dibawah kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir, Kerajaan Pusat menggunakan kuasa persekutuan untuk mendapat pengaruh dan mengawal kerajaan negeri.

Hak kerajaan negeri Kelantan untuk mendapat royalti minyak dinafikan. Bercanggah dengan Tun Abdul Razak yang menyelia pewartaan Akta Petroleum 1974, berkata Royalti 5 peratus perlu dibayar walaupun minyak ditemui di luar pesisir.

Jawapan yang diberikan pada 12 November 1975 itu berbunyi:
“Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore) atau di luar perairan (offshore) negeri tersebut, yang dijadual oleh PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya.”

Pada 9 Mei 1975, Kerajaan Negeri Kelantan telah menandatangani Perjanjian di bawah akta 144 Petroleum Development Act 1974. Perjanjian tersebut yang kebelakangan ini cuba pula dinafikan oleh beberapa pemimpin BN termasuk tokoh BN Kelantan bertajuk, “Grants of Rights, Powers, Liberties and Privileges in respect of Petroleum”.

Section 4 di dalam perjanjian tersebut di baca seperti berikut,
“Section 4. Cash payment by the Corporation.
In return for the ownership and the rights, powers, liberties and privileges vested in it by virtue of this Act, the Corporation shall make to the Government of the Federation and the Government of any relevant State such cash payment as may be agreed between the parties concerned.”[2]

Perjanjian telah ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan pada ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas, YM Tengku Razaleigh Hamzah. Namun adalah malang bagi rakyat Kelantan apabila Royalti digantikan kepada wang ihsan pada tahun 2000. Perjuangan mendapatkan hak rakyat Kelantan masih berterusan sehingga hari ini.

PENUTUP

Secara umumnya federalisme di Malaysia adalah merupakan sistem yang telah diamalkan sekian lama telah terbukti memberikan signifikan positif khususya di dalam melicinkan pentadbiran negara dan membangunkan ekonomi negara. Sistem federalisme ini juga dapat menyelesaikan masalah perkauman di Malaysia yang masyarakatnya adalah berbilang kaum. Ini secara lebih jelas dapat dibuktikan di negeri seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang mana populasi kaum di negeri berkenaan adalah majoriti bukan Melayu. Melalui sistem federalisme, kaum majoriti bukan Melayu dapat mengekalkan kuasa pentadbiran dan identiti negeri mereka walaupun berada dalam kumpulan masyarakat majmuk. Negeri-negeri yang kecil dapat peluang pembangunan ekonomi dan bantuan kerajaan pusat yang adil disamping pentadbiran yang lebih licin dan keselamatan yang lebih terjamin.

Namun demikian aspek kerjasama negeri dan pusat ini dalam situasi tertentu terhalang serta menjerumus kepada konflik apabila pemerintah negeri dan pemerintah pusat adalah tidak sehaluan atau dipegang oleh Parti Politik yang berbeza. Dalam beberapa kes yang dilontarkan diatas memperlihatkan sinario di Kelantan seringkali berlaku konflik diantara Kerajaan Pusat yang di perintah oleh Barisan Nasional dan Kerajaan Negeri oleh Pakatan Rakyat. Penyelesaian kepada konflik ini hanya dapat dibuat jika aturan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Malaysia dapat dipegang dan diikut tanpa mengira kepentingan politik.

 RUJUKAN

Muhammad Agus Yusof, Politik Federalisme di Malaysia, Jati, Bil 7, Disember 2002
Mohammad Agus Yusoff, Malaysian Federalism: Conflict or Consensus: Penerbit Universiti Kebangsaan, Bangi, 2006.
Joseph M Fernando, The Alliance Road To Independence: Universiti Malaya Press, Kuala Lumpur, 2009
M Guibernau, Nationalisms: The Nation State and Nationalisme in the Twentieth Century, Polity Press, Cambridge, 1996.
B. Simandjuntak, Malayan Federalism, 1945-1963: A Study of Faderal Problem in a Plural Society, Oxford Press. Kuala Lumpur, 1969.
Muhammad Kamil Awang, The Sultan and The Constitution, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998
Joseph M Fernando, The Alliance Road to Independence, University Malaya Press, Kuala Lumpur. 2009
Joseph M Fernando, Federal Constitutions: A Comparative Study of Malaysia and the United States, University Malaya Press, Kuala Lumpur. 2007
Raja Nor Alaini, A Historical Perspective of Federalism in Malaysia, International Journal of Business, Economic and Law, Vol 1, 2012
PETIKAN SURAT YBM Tengku Razaleigh Hamzah yang dihantar kepada YAB Menteri Besar Kelantan bertarikh 30 Julai 2009



[1] Raja Nor Alaini, A Historical Perspective of Federalisme in Malaysia, International Journal of Business, Economic and Law, Vol 1, 2012
[2] PETIKAN SURAT YBM Tengku Razaleigh Hamzah yang dihantar kepada YAB Menteri Besar Kelantan bertarikh 30 Julai 2009

0 comments:

 
TouchUp by MohdSyahiran | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Eagle Belt Buckles