Politik gerakan mahasiswa pasca
tsunami politik 2008 telah membawa banyak perubahan kepada politik kampus dan
mahasiswa. Mahasiswa pasca tsunami politik Malaysia 2008 makin lantang dan partisipasi
politik semakin meluas penglibatannya.
Hal ini jelas kelihatan apabila
pelbagai isu ditimbulkan mahasiswa, termasuk isu hak kebebasan akademik,
pemansuhan AUKU, pendidikan percuma
malah penglibatan dalam menuntut pilihanraya yang adil turut lantang disuarakan
oleh Gerakan Mahasiswa.
Malah, pengalaman di Biro
Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan menerima banyak sokongan dan penglibatan program
KEADILAN secara langsung. Jika dulu, ramai dikalangan mahasiswa segan silu
untuk terlibat dalam parti politik, tetapi pada hari ini KEADILAN sendiri
menerima berbondong-bondong keahlian dikalangan mahasiswa.
Pindaan AUKU terbaru yang
membenarkan mahasiswa untuk terlibat dalam politik disambut baik walaupun ada
kecacatan terutama pihak Biro Mahasiswa AMK melihat usaha ini adalah untuk
mengekang mahasiswa yang ‘vokal’ untuk perlibat dalam pilihanraya kampus
apabila mahasiswa terlibat dengan parti tidak dibenarkan bertanding dalam PRK. Namun
di satu sudut yang lain mahasiswa tidak perlu berasa takut untuk terlibat
dengan parti politik secara langsung.
Berkenaan penglibatan mahasiswa
dalam parti politik, pihak biro Mahasiswa pada awalnya dilema berhubung isu
ini. Biro Mahasiswa yang rata-rata terdiri daripada mantan pimpinan mahasiswa
berpandangan bahawa adalah lebih ideal untuk mahasiswa membawa idealisme
mahasiswa tanpa tangan-tangan parti politik.
Namun, apabila melihat
perkembangan politik negara pada hari ini, partisipasi anak muda dan mahasiswa
begitu besar termasuk keahlian KEADILAN dikalangan mahasiswa. Justeru adalah satu
kerugian bagi KEADILAN jika tidak dibimbing dan dibina kepimpinan mahasiswa
KEADILAN di kampus-kampus.
Pengalaman gerakan mahasiswa di
luar Negara membuktikan bahawa penglibatan mahasiswa dalam parti poltik tidak
menyekat idealisma mahasiswa malah menyuburkan lagi.
Sebagai contoh di Indonesia. Jika
berlaku Pemilihan Umum PEMILU, parti-parti yang bertanding perlu untuk mendapat
mandat dan lobi daripada 3 badan terbesar Negara tersebut. Pertama adalah
Muhammadiyyah, kedua, Nahdatul Ulama dan Ketiga adalah Mahasiswa.
Ketiga-tiga entiti ini menentukan
jatuh bangun sesebuah regim bukan sahaja kerana bilangan mereka besar tetapi
juga kerana mobilasi serta suara besar yang mereka miliki. Peristiwa Reformasi
1998, menjatuhkan rejim Suharto, memberikan coretan sejarah betapa besarnya
peranan yang dimainkan oleh mahasiswa. Pada hari ini rata-rata mahasiswa
Indonesia sudah menganggotai parti politik ataupun kecederungan parti politik.
Gerakan Mahasiswa Islam di
Indonesia, yang ketika ini diketuai kepimpinan kampusnya oleh kelompok yang
dikatakan ‘Ikhwan’ iaitu Kumpulan Aksi Mahasiswa Islam KAMMI sayap mahasiswa
kepada Partai Keadilan Sejahtera PKS, begitu juga di Indo-India, Bangladesh dan
Pakistan, politik kampusnya dikuasai oleh Chatra Shibir, sayap Mahasiswa kepada
Parti poltik, Jamiat Islami.
Kesan daripada ini, berlaku
fonomena seperti yang ditulis John L Esposito, “Islam and Democracy”. Buku ini
menarik untuk kita baca, kerana Esposito memberikan kes studi yang berlaku
kepada gerakan Islam di Negara yang pelbagai termasuk Malaysia. Di dalam hal
ini, saya dapat simpulkan bahawa, kayu ukur yang menentukan kekuatan satu-satu kelompok
termasuk parti politik adalah ditentukan siapa yang memegang kepimpinan kampus.
Malah seperti di Turki, AKP
meletakan mahasiswa sebagai kelompok masyarakat utama yang diberi tumpuan oleh
kader parti. Ini adalah kerana golongan mahasiswa adalah golongan cerdik pandai
yang bakal memegang jawatan penting dan berpengaruh apabila selesai pengajian.
Ini adalah merupakan strategi penting untuk memastikan idea perubahan bersebar
dan gerakan untuk membina Turki baru tercapai.
Prinsip penglibatan mahasiswa
dalam parti poltik adalah Politik ilmu, idealisma atau Intelek. Hal ini adalah
merupakan asas penting dalam kepimpinan Mahasiswa. Kepimpinan Mahasiswa tidak
sahaja dibina karisma, dan petah berpidato tetapi pada hemat saya soal ‘Intelectual
Leadership’ di dalam berbahas idea, berhujah membela kebenaran, agresif di
dalam mengangkat budaya ilmu dapat digarap apabila terlibat secara langsung dalam
politik kampus dan parti politik
Contoh yang mungkin boleh diambil
adalah mahasiswa United Kingdom. Hampir setiap mahasiswa mempunyai parti yang
disertai mereka samada Parti Buruh atau Konservatif. Dalam hal ini, yang
menarik juga adalah pihak universiti sehinggakan memberi cuti khas malah diberi
kredit untuk mereka yang mempunyai program politik atau agenda khas dalam
politik.
Namun demikian apa yang lebih
menarik adalah, walaupun mereka menyertai satu-satu parti, tetapi idelisme mahasiswa
itu tadi tetap menjadi asas pokok. Sebagai contoh, mereka mempunyai Parlimen
Mahasiswa, National Union of Student,
yang mana rata-rata ahli parlimen mahasiswa ini mewakili kelompok mahupun parti
masing, tetapi ahli parlimen tersebut boleh bercanggah pandangan dengan parti
itu jika parti itu bercanggah dengan idealisme mahasiswa.
Sebagai contoh sewaktu perang di
Iraq, Perdana Menteri British ketika itu Tony Blair dikecam hebat oleh Parlimen
Mahasiswa, National Union of Student
yang dipimpinan oleh Mahasiswa Parti Buruh sendiri. Kesuburan idealisme ini
tidak dihalang malah disubukan lagi sebagi salah satu langkah mengilap
kepimpinan mahasiswa.
Diakhir tulisan ini, ingin
ditegaskan bahawa penglibatan mahasiswa dalam parti politik, khususnya KEADILAN
memberikan platform dan ruang untuk mahasiswa menggilap kepimpinan serta
terlibat di dalam membina dasar Negara. Biro Mahasiswa AMK menghulur tangan
untuk mahasiswa menjadi agen perubahan menerusi Jaringan Mahasiswa KEADILAN
(JMK).
MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI
Pengarah Biro Mahasiswa
Angkatan Muda Keadilan
merangkap,
Mantan Setiausaha Luar Solidariti Mahasiswa Malaysia
0 comments:
Post a Comment