SAIFULLAH ZULKIFLI -
Gerakan Mahasiswa yang pernah saya gelumang sejak 2003 hingga 2009 memberikan inspirasi yang besar kepada diri dan pemikiran saya. Program advokasi, usrah, latihan, demontrasi dan program lapangan bersama rakyat cukup bermakna. Satu kerugian bagi mahasiswa yang hanya duduk di kuliah dan kolej tanpa terlibat aktif bersama gerakan mahasiwa.
Gerakan mahasiswa China 1989 telah mencatat salah satu sejarah kebangkitan terbesar mahasiswa seluruh dunia. Ribuan mahasiswa dan golongan pekerja telah keluar ke jalan raya menuju ke Dataran Tiananmen sebagai langkah menuntut keterbukaan, hak asasi dan demokrasi China.
Protes ini menjadi tragedi bila kerajaan komunis China bertindak ganas dengan mengarahkan tentera menembak ke arah demonstran dan ribuan telah terbunuh pada 4 Jun 1989.
Menarik untuk kita lihat adalah apabila majalah The Times, April 1998 telah meletakan salah seorang ‘100 most influential person’ adalah seorang mahasiswa yang terlibat dalam protes ini yang hanya dikenali sebagai ‘unknown rebel’.
Majalah Life juga, meletakkan ‘100 Gambar Mengubah Dunia’ yang memaparkan potret seorang mahasiswa yg tidak diketahui namanya yg digelar ‘unknown rebel’ kerana kelibat beliau hanya dapat dikesan melalui tangkapan gambar dari jarak jauh.
Mahasiswa ini terus menjadi perhatian dunia kerana tindakan beliau yang menahan dan menghalang seangkatan kereta kebal tentera yang cuba untuk memasuki Dataran Tiananmen selepas tragedi berdarah 4 Jun 1989 yang membunuh hampir 2500 orang golongan pekerja dan mahasiswa akibat ditembak tentera.
Sehingga hari ini, indentiti beliau masih menjadi tanda tanya. Nasib beliau selepas itu tidak diketahui namun ada khabar angin yang mengatakan bahawa beliau telah dibunuh kerana tindakkan beliau yang telah menarik perhatian dunia sehingga hari ini.
Begitu juga berlaku di Tunisia. Pada hemat saya, kebangkitan Arab termasuk Libya, Mesir, Syria, Yaman, Bahrin dan lain-lain bermula di Tunisia. Kuncinya adalah kepada peristiwa yang menimpa seorang graduan yang baru selesai kuliah, Muhammad Bouazizi.
Anak muda berusia 26 tahun ini baru selesai zaman mahasiswa cuba untuk mendapatkan pekerjaan namun tidak berjaya lalu cuba untuk berniaga sendiri dengan menjual sayur kecil-kecilan. Akibat tidak diberikan lesen, kereta jaja sayurnya disita oleh pihak berkuasa tempatan.
Beliau cuba membuat laporan polis, tetapi ditampar dan dipukul. Bouazizi juga cuba untuk membuat aduan ke pihak atasan tetapi tidak diendahkan.
Boazizi umpama jatuh ditimpa tangga dan tidak tahan dengan kebobrokkan sistem yang ada dibawah 25 tahun pemerintahan Ben Ali dan isteri, Laila Ben Ali. Beliau mengambil tindakan protes dengan membakar diri dan tidak lama selepas itu mati.
Natijah daripada tindakan ini beliau telah menjadi pencetus kebangkitan bukan sahaja kepada rakyat Tunisia malah seluruh Tanah Arab.
Tindakan Bouazizi telah diangkat dan dibela oleh Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Syeikh Dr Yusuf Qardhawi melalui tulisan Ulama Syria, Ahmad Muaz al-Khatib al-Hasani. Bouazizi adalah pejuang rakyat dan tidak dianggap membunuh diri.
Beliau umpama lilin yang membakar diri, mempercepatkan kebangkitan rakyat menentang kezaliman dan kerakusan kuasa Ben Ali.
Kalau direnung sejarah pula banyak yang boleh diceritakan tentang kebangitan mahasiswa. Di India Baghad Singh dan rakan-rakan mahasiswa yg lain secara sukarela sanggup utk ditahan ditangkap, diseksa dan dibicarakan semata-mata untuk mendpt perhatian media dan rakyat kepada perjuangan mahasiswa dan anak muda menentang penjajah British. Baghad bersama rakan-rakan akhirnya telah mati dihukum gantung.
Melihat kepada beberapa sejarah gerakkan mahasiswa menuntut perubahan dan keadilan penuh dengan insiden-insiden tragis yang tidak masuk akal. Namun insiden yang dilakukan mahasiswa ini merupakan pencetus kepada revolusi, reformasi, gelombang kebangkitan rakyat menuntut perubahan dan keadilan.
Di Malaysia tidak jauh bezanya. Hari ini mahasiswa Malaysia telah bangun menuntut perubahan dan keadilan daripada regim yang telah 55 tahun memerintah Malaysia. Walaupun adakalanya tindakan yang dilakukan tidak masuk akal termasuk turunkan bendera, pijak gambar, kibar bendera sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu dan lain-lain.
Seperti Adam Adli, beliau juga adalah seperti Mohammad Bouaziz yang umpama lilin membakar diri bagi menyeru rakyat bangun melawan kezaliman Barisan Nasional. Tindakan Adam Adli adalah cutusan hati nurani mahasiswa yang berkata ‘Cukup 55 tahun!’
Kita boleh berbeza pandangan dalam hal ini dan boleh sahaja kita bahaskan. Namun dalam hemat saya punya satu optimisme bahawa ini adalah tindakkan yang bakal menjadi pencetus kpd gelombang kebangkitan rakyat oleh mahasiswa.
Mahasiswa adalah satu kelompok dalam masyarakat yang punya idealisme dan prinsip untuk menuntut keadilan dan kebebasan, bukan sahaja idealisme malah darah muda yang mereka miliki mencetus kepada aktivisme yang menggerakan gelombang kebangkitan rakyat tanpa kenal lelah dan kepentingan peribadi.
Mahasiswa sedang berbicara kepada sang penguasa bahawa ‘kamu berlaku zalim dan perbodohkan rakyat!’
Kata-kata ini diterjemahkan mahasiswa dalam perbagai bentuk baik sastera, demonstran, teater, puisi, wacana dan lain-lain. Gerakan Mahasiswa punya jalan dan idelisme tersendiri berbeza dengan parti politik mahupun NGO yang lain.
Mahasiswa adalah Dhammir, suara hati nurani rakyat. Salute untuk mahasiswa!
0 comments:
Post a Comment