Saturday, April 30, 2011

VIDEO SEKS ADALAH STRATEGI FITNAH TERBARU BN MELEMAHKAN PAKATAN RAKYAT MENDEPANI PRU-13

VIDEO SEKS ADALAH STRATEGI FITNAH TERBARU BN MELEMAHKAN PAKATAN RAKYAT MENDEPANI PRU-13

Politik kotor dan kolot UMNO-Barisan Nasional sejak pemerintahan Mahathir hingga Najib tidak berubah. Politik fitnah dan mengaibkan maruah serta cubaan rasuah tokoh pembangkang menjadi modus operandi utama di dalam mengekang kebangkitan rakyat menyokong perubahan.

Pengalaman pilihanraya 1990 dalam pakatan pembangkang menerusi Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat, Tengku Razaleigh Hamzah dicanang sebagai agen Kristian hanya kerana memakai tengkolok Sabah yang ada corak seakan salib. Gambar Ku Li memakai tengkolok Salib ini menjadi bahan kempen utama di dalam menjatuhkan kepercayaan rakyat kepada Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46.

Begitu juga seperti yang diketahui umum UMNO-Barisan Nasional pada tahun 1998 memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO dan Kabinet Menteri kerana fitnah pertama yang dilemparkan kepada beliau, sehingga dipenjarakan selama 6 tahun. Beliau bukan sahaja difitnah, malah, diracun, ditumbuk, dan dipenjarakan.

Dalam hal ini adalah pelik jika dibandingkan dengan kes rogol remaja bawah umur yang melibatkan Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik. Beliau bukan sahaja tidak dipecat daripada UMNO, malah dibela oleh pimpinan Mahathir dan didapati tidak bersalah oleh Mahkamah. Dalam kes ini yang bersalah adalah pimpinan pembangkang, Lim Guan Eng yang dipenjarakan kerana usaha beliau membela anak remaja perempuan melayu yang dirogol. Hasil tekanan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhirnya Tan Sri Rahim Tamby Chik meletakkan jawatan sebagai ketua menteri Melaka.

Pilihanraya 1999 membuka sejarah besar dalam politik Malaysia apabila pakatan pembangkang diperkukuhkan hasil daripada konspirasi politik pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tertubuhnya Barisan Alternatif (BA) yang menggabungkan semua parti pembangkang dan pertandingan satu lawan satu sewaktu PRU ke-10. Hasil daripada pakatan ini Barisan Alternatif memenangi 42 kerusi, mengekalkan kemenangan di Kelantan dan merampas Terengganu.
Barisan Alternatif tidak kekal antara sebab utamanya adalah kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Selepas konspirasi politik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pertama, pembangkang mara lebih jauh apabila DSAI dilepaskan pada tahun 2006 dan pemuafakatan semua parti pembangkang membentuk Pakatan Rakyat. Pembangkang sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen dan memenangi 5 negeri menerusi Pakatan Rakyat.

Bagi menyekat kemaraan ini, UMNO-Barisan Nasional merangka strategi Fitnah ke-2 dengan kes Liwat Saiful Bukhari.

Setelah lebih 2 tahun perbicaraan Fitnah ke-2 ini, kelihatan UMNO-BN hilang modal dan bakal kalah dalam perbicaraan. Lebih merisaukan UMNO-BN Pakatan Rakyat telah melancarkan Buku Jingga yang menjadi testamen, manifesto tawaran Pakatan Rakyat kepada Rakyat Malaysia bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

Tidak cukup dengan Fitnah 2, pihak UMNO-Barisan Nasional yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor melancarkan fitnah 3 yang melibatkan video seks oleh Datuk T, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Datuk Shazyl Eskey Abdullah.

Fitnah terbaru ini, dengan perancangan konspirasi yang penuh kelompongan membuktikan bahawa UMNO-Barisan Nasional terdesak melemahkan Pakatan Rakyat dengan mengaibkan imej pimpinannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kemerosotan peratus undi yang diperoleh sewaktu Pilihanraya negeri membuatkan UMNO-Barisan Nasional lebih terdesak. Undi popular Pakatan Rakyat yang mencecah hampir 45% amat menggusarkan mereka. Lebih merisaukan adalah apabila perkiraan sokongan rakyat dan gelombang kebangkitan rakyat Sarawak dalam pilihanraya negeri mampu memberikan lapan kerusi parlimen kepada Pakatan Rakyat di kawasan Bandar di Sarawak.

Rakyat Malaysia telah matang dengan segala politik fitnah yang dimainkan oleh UMNO-Barisan Nasional. Rakyat tidak akan berganjak dari menuntut perubahan dan keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia. Rakyat Bangkit, Selamatkan Malaysia!

MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI
Ketua Penerangan,
Angkatan Muda Keadilan Selangor

0 comments:

 
TouchUp by MohdSyahiran | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Eagle Belt Buckles