Sunday, September 05, 2010

DINAMISME BARU ANGKATAN MUDA KEADILAN BERSAMA-SAMA BARISAN “GENERASI REFORMASI”



Gerakan reformasi yang tercetus pada tahun 1998 membawa lembaran baru kepada sejarah politik tanahair apabila ia menggabungkan kumpulan-kumpulan yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama. Keunikan gerakan reformasi adalah apabila semua pihak yang berlainan pendekatan diberikan ruang sepenuhnya untuk menyumbang ke arah matlamat membawa perubahan kepada negara.


Dari gerakan ini, lahir satu generasi yang berbilang bangsa, pelbagai latar belakang, kepakaran dan pendekatan tetapi berkongsi matlamat yang sama. Generasi Reformasi ini mewakili suara anak Malaysia yang mahukan perubahan dinamik secara berterusan demi kesejahteraan rakyat.


Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) adalah kesinambungan kepada perjuangan Generasi Reformasi yang bermula pada tahun 1998. Walaupun isu pokok yang menjadi teras perjuangan ini tetap sama, pelbagai isu baru juga timbul dan perlukan pembelaan sewajarnya.


PRU13 juga akan menyaksikan kuasa orang muda yang dianggarkan berjumlah 4.6 juta dalam menentukan pentadbiran di Putrajaya. Parti-parti yang berjaya menjunjung isu yang dekat dengan orang muda secara berkesan di peringkat nasional akan mempunyai kelebihan.


Oleh itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebagai barisan utama dalam mendekati orang muda memerlukan dinamisme yang tinggi. Isu yang diperjuangkan perlu melambangkan aspirasi majoriti 4.6 juta pengundi muda yang mempunyai citarasa yang berbeza-beza. Pendekatan yang digunakan juga perlu dipelbagaikan untuk menarik minat sebahagian besar anak muda yang pada ketika ini tidak berminat dengan politik.


Berdasarkan misi ini, saya dan rakan-rakan yang lahir dari semangat kebersamaan dan kepelbagaian hasil dari gerakan reformasi ingin menawarkan diri untuk menyuntik dinamisme itu ke dalam AMK, sebagai persediaan menghadapi PRU13.

Kami yang menamakan diri kami Generasi Reformasi, melihat kepada beberapa perkara asas yang perlu diperkukuhkan oleh AMK seperti berikut:

1. 1) Membawa pendekatan baru untuk mempelbagaikan isu-isu orang muda yang diangkat ke peringkat nasional, seterusnya memikat pengundi-pengundi muda;

2. 2) Memperkukuhkan organisasi di peringkat akar umbi dengan memastikan persediaan kewangan yang memuaskan dan urustadbir akar umbi yang baik;

3. 3) Tumpuan khusus kepada latihan kepimpinan dengan memberi ruang yang seluasnya kepada pimpinan bawah 30 tahun sebagai persediaan masa hadapan.

0 comments:

 
TouchUp by MohdSyahiran | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Eagle Belt Buckles