DAKWAH: SEKALI MELANGKAH PANTANG BERPATAH
Majlis Tarbiyyah PKPIM Pusat 2003
(susunan Mohd Saifullah Mohd Zulkifli)
Mutakhir ini , kalimat Takbir beserta Islah menjadi laungan dan seruan bagi mencetus semangat dan ruh jihad yang tersembunyi dalam jiwa. Pelbagai justifikasi dilabelkan terhadap laungan keramat ini mengikut persepsi masing – masing. Walau apa pun, sebagai umat Islam wajib untuk kita menjaga dan memelihara kesucian dan kemurnian kalimah Allah ini. Kalau kita mengimbau kembali sirah Nabi SAW, kalimah takbir ini sering dilaungkan bagi membangkitkan semangat atau motivasi diri ketika berjihad menegakkan syariat Islam terutamanya di dalam hampir 120 siri peperangan. Mereka yang melaungkan kalimah suci ini tidak pernah rasa gentar dan takut kepada ancaman pihak musuh, malah kadang-kala pihak musuh pula yang bimbang dengan semangat yang ditunjukkan. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Maidah, ayat 54 yang bermaksud:
يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَلاَ يَخَافُونَ لَوْمَةَ لائم {54}
”Mereka berjihad di jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela”