Wednesday, December 10, 2008

APABILA MEREKA TAKUTKAN TEMBOK MAHUPUN BASIKAL: Last Castle (2001), JERIT (2008)



Dalam banyak hal selain daripada buku dan tokoh-tokoh besar aku banyak dipengaruhi oleh filem2 yang diterbitkan, hasil2 karya yang segar dan idealis sering memberikan inspirasi dan buah fikiran yang bernas di dalam mengungkap persoalan disekeliling.

Filem The last Castle, (2001) hasil karya David Scarpa, Arahan Rod Lurie, Lakonan mantap Robert Redford telah memberikan satu inspirasi segar di dalam mengungkap permasalahan kezaliman dan perjuangan menentang kezaliman itu. Manusia apabila berada di kerusi kuasa, lupa akan siapa dirinya, malah kuasa itu akan membuatkan manusia itu ego, ketakutan tidak bertempat dan kerisauan akan tergugat kedudukan.

James Godalfini, yang memegang watak jahat Col. Winter berasa tergugat dgn kehadiran General Irwin yang dihukum penjara akibat tersalah membuat keputusan ketika perang dan mengakibatkan kematian kepada anggotanya. Ketakutan yang tidak bertempat ' Sang Penguasa' Col. Winter terserlah apabila General Irwin memberi inspirasi kepada banduan yang lain untuk membina sebuah tembok.

Ketakutan kepada tembok ini, atau ketakutan kepada Irwin membuatkan Col. Winter membunuh seorang pengikut setia Gen. Irwin, Aguilar. Tindakan yang akhirnya mengakibatkan Gen Irwin dan pengikutnya membina gelombang kebangkitan menentang ' Sang Penguasa'. Penguasa yang angkuh, ego, dan rakus kepada kuasa.

Apalah sangat sebuah tembok, hanya tembok tidak boleh meruntuhkan sebuah regim, tetapi tembok itu adalah simbol kepada kegagahan dan maruah kepada para bantuan yang ingin menuntut keadilan, dan kehidupan lebih baik.

Mungkin ramai yang menonton filem ini akan menyangka ianya hanyalah sebuah filem, yang boleh direka2, tetapi mungkin dakwaan itu meleset. Pada hari ini 'Sang Penguasa' tidak takut pada tembok, tetapi mungkin pada basikal. Basikal yang dikayuh oleh beberapa sukarelawan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), dari seluruh negara ada yang dibakar, sukarelawan lebih 30 orang ditahan.

Apalah sangat dengan basikal atau kayuhan basikal. Basikal hanyalah sebuah alat yang digunakan untuk bergerak, malah tidak mencemarkan, cuma pergerakannya agak lambat berbanding kenderaan yang lain. Bagusnya, kerana berbasikal agak lambat, ianya tidak akan mencederakan sesiapa. Bagaimana agaknya berbasikal atau basikal boleh mencederakan seseorang sehinggakan pengayuhnya perlu ditahan?

Seperti tembok tadi, kayuhan basikal ini bukanlah kayuhan basikal biasa, tetapi kayuhan basikal ini adalah kayuhan kepada simbol perubahan, isi hati rakyat yang menuntut sesuatu yang lebih baik. Kayuhan seorang reformis, tembok seorang pejuang.

Bagi individu muslim, saya yakin solat bagi seorang pejuang, dan solat bagi muslim yang biasa pasti berbeda. Solat bagi pejuang, punya tasawur dan pandangan sarwajagatnya tersendiri, bukan sahaja mengharapkan kebaikkan diri sendiri, malah ummat keseluruhannya. Solat sebagai tanda syukur pada pencipta, ditunjangi kekuatan tawhid dan tunduk kepada satu-satunya yang berkuasa.

Contoh yang baik adalah solat bagi muslim di Iran sewaktu menjatuhkan pemerintahan kuku besi Shah Iran (walaupun majoriti fahaman syiah). Persoalan bagaimana Khomaini, yang hidup dalam buangan di Paris mampu untuk membuat panggilan revolusi menjatuhkan Shah Iran, Khomeini menggunakan solat sebagai indikator. Solat Subuh di Iran ketika itu, jumlahnya sama ramai seperti solat Jumaat.

Di sinilah, saya mampu simpulkan solat bagi seorang pejuang tidak sama dengan solat orang biasa, tembok bagi seorang pejuang tidak sama dengan tembok yang dibuat oleh orang biasa, begitulah juga berbasikal bagi seorang reformis tidak sama berbasikal seperti pengayuh biasa. Kayuhannya bisa menggoncang dunia.

1.48 am 11 Dis 2008
Seksyen 14

 
TouchUp by MohdSyahiran | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Eagle Belt Buckles