Tuesday, September 25, 2012

Serang m’siswa: Politik ganas ke kampus hasil didikan Umno


KUALA LUMPUR 25 September: Banyak pihak meramalkan kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya (UM) akan memenangi Pilihan Raya Kampus (PRK) kali ini menjadi punca ketakutan pihak lawan menyebabkan pengerusinya diserang sekumpulan samseng.
Pengarah Biro Mahasiswa Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Mohd Saifullah Mohd Zulikifli berkata, Pro-Aspirasi (Pro-A) yang ditaja Umno jelas berasa takut dan terdesak sehingga terpaksa bertindak di luar batas.
“Pro-A adalah bukti kumpulan Umno yang ada dalam kampus. Mereka amalkan politik ganas bila rasa tergugat, itu semua hasil didikan Umno,” katanya ketika dihubungi.
“Pro-A yang cenderung kepada Umno bukan saja ditaja dari segi wang ringgit, malah sistem pentadbiran universiti turut disabotaj. Jadi bayangkan, jika PRK pun mereka nak tipu apatah lagi pilihan raya umum?” kata Saifullah lagi.
Timbalannya, Mohd Affandi Abdul Malik mewakili biro mahasiswa mengutuk serangan tersebut dan menolak sebarang bentuk budaya samseng.
“PRK sepatutnya menjadi medan intelektual untuk mahasiswa mempraktikkan amalan demokrasi, bukan amalkan pendekatan budaya ganas,” kata Affandi.
“Kita juga mendesak agar polis siasat segera sama ada serangan ini didalangi orang luar kerana kita percaya politik samseng bukan amalan biasa politik mahasiswa di kampus,” katanya.
Pengerusi Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Edikoup Lakip Sediyanto diserang pagi tadi oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali berhampiran kediaman sewa beliau di Petaling Jaya.
Menurut Edikoup, motosikal yang dipandunya pada jam 4 pagi tadi di Seksyen 17 itu dihadang sebuah kereta, sebelum beliau diheret dari motosikal ke bahu jalan dan diserang.
Beliau mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Insiden ini berkemungkinan mempunyai kaitan dengan pilihan raya kampus yang sedang berlangsung hari ini.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=36719

0 comments:

 
TouchUp by MohdSyahiran | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Eagle Belt Buckles