Sunday, October 30, 2011

Adakah Masih Relevan Perjuangan Bahasa Kebangsaan Pada Hari Ini?


Bahasa Melayu yang telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957 yang kemudiannya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa penghantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian dalam Akta Pendidikan 1996. Namun demikian, masyarakat generasi ketiga yang lahir pasca 13 mei kian terhakis sensitiviti dan kesedaran kepada persoalan bahasa ini. Ada yang bertanyakan adakakah masih relevan perjuangan bahasa pada hari ini?

Bagi menjawab persoalan ini penulis suka untuk kita mengambil iktibar coretan sejarah yang menceritakan tragedi Perang Dunia kedua. Sewaktu di awal peringkat meletusnya perang dunia kedua, tentera Jepun bertindak untuk menyerang salah satu daripada wilayah China, yang dikenali sebagai Manchuria. Tindakan Jepun pada ketika itu menandakan bibit-bibit awal tercerusnya perang dunia kedua. Liga Bangsa yang pada ketika itu bertindak seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari ini, tidak mampu untuk bertindak apa-apa, bagi membalas tindakan unilateral Jepun itu.

Namun demikian, apa yang menarik untuk kita lihat bagaimana strategi Jepun membentuk kerajaan Boneka, dan menukar nama Manchuriakepada Manchuco. Dalam perubahan dasar negara tersebut, perkara pertama yang diubah oleh Jepun adalah bahasa pengatar pendidikan, daripada Bahasa China kepada Bahasa Jepun.

Jika kita lihat signifikan, kepada tindakan tersebut adalah untuk mengawal pemikiran dan jiwa bangsa China yang dijajah Jepun, lantas meletakkan taat setia kepada Jepun menerusi implimentasi pendidikan dalam bahasa Jepun.

Dalam hal ini juga sebenarnya turut diperakui oleh dua orang ahli Sosiologi bidang sosio-linguistik, iaitu Sapir-Worlf yang memperlihatkan kepada teori bahasa sebagai penjajahan bentuk baru. Pemikiran, jiwa dan budaya sesuatu bangsa itu dibentuk oleh bahasa yang digunakan.

Fenomena ini melihatkan kritikan kepada bangsa dalam konteks ras atau rumpun tidak dapat menentukan bangsa, jika bahasa yang digunakan bukan daripada bahasa bangsa itu. Dalam erti kata lain bahasa menentukan bangsa itu.

Contoh mudah adalah jika kita katakan kita adalah kaum Melayu, tetapi jika bahasa yang diguna pakai adalah bahasa Inggeris maka Inggerislah yang akan mencorak jiwa, pemikiran, dan budaya kita.

Mengambil pengalaman Negara jiran Singapura, bekas perdana menterinya Goh Chok Tong (Addressing The Nation, Julai 1997). Beliau berkata, “Setelah 25 tahun melaksanakan pendidikan dalam bahasa inggeris, maka mereka telah mewujudkan satu generasi muda yang tidak lagi menganut nilai-nilai China Timur”. Penggunaan bahasa di dalam dasar pendidikan secara jelas mampu untuk memberikan kesan yang besar di dalam pembinaan sebuah Negara-Bangsa dan jati diri masyarakatnya.

Dalam hal inilah sebanarnya benarlah ungkapan Melayu 'Bahasa Jiwa Bangsa'. Tidak dikatakan Melayu jika bahasa yang diangkatnya adalah Bahasa Inggeris. Dalam hal ini, bukanlah bermaksud kita menolak bahasa lain, tetapi adalah menjadi sesuatu yang ganjil bagi sesuatu negara, jika bahasa negara itu sendiri di ketepikan dan diangkat bahasa bangsa lain sebagai bahasa Ilmu negara.

Kita perlu mengambil contoh dari negara seperti Jepun, Korea, German dan Perancis yang telah membuktikan kejayaan mereka dalam pentas dunia melalui bahasa ibunda mereka sendiri. Mereka tidak pula berasa malu bahkan amat berbangga dengan bahasa kebangsaan mereka. Namun, kita tidak seharusnya menafikan kepentingan bahasa Inggeris, bahkan kita perlu menguasainya dengan cemerlang kerana kedudukannya sebagai lingua franca dalam era global ini. Cuma kita menuntut agar jangan sampai bahasa Melayu dianaktirikan seolah-olah melukut di tepi gantang dan sehingga kita hilang identiti kita sebagai rakyat Malaysia.

Justeru, sudah jelas kepada masyarakat bahawa perjuangan untuk memertabatkan bahasa Kebangsaan amat diperlukan dalam negera kita. Izinkan juga makalah ini di tutup dengan meminjam sajak keranda 152.

Senjata disandang dijulang
Tekad kukuh tujuan murni
Bahasa Usah dijual beli dangan Mutiara
Atau tolak ansur walau segaris kapur
Kerana ia hak mutlak perairan ini

Bahasa Melayu di keranda
Dada mana yang tak sebak
Telinga mana yang rela mendengar
Mata siapa yang bisa kutup rapat
Sedang kita dilahirkan dengan iramanya

Apa guna janji pada gelombang
Kalau sikap kita cuma ulam
Bahasa di keranda bisa diusung ke lahad
Kelaku itu apa bisa kita ratap dan pinta
Darah yang mengalir berubah warnanya

Saifullah Zulkifli

Setiausaha Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) 2008/09

Friday, October 28, 2011

PERDANA MENTERI DIINGATKAN JANGAN BERMAIN POLITIK DALAM ISU AZIZ BARI DAN KEBEBASAN AKADEMIK UNIVERSITI




Angkatan Muda Keadilan Selangor suka untuk mengingatkan YAB Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak agar tidak membuat kenyataan politik dan bermain politik dalam isu pengantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari. Isu ini adalah jauh daripada amalan politik sempit yang diamalkan UMNO Barisan Nasional.

Perdana Menteri dan Pihak Pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa mengumumkan penggantungan ditarik balik. Namun demikian adalah malang apabila siasatan SKMM dan Polis tetap diteruskan. Malah komputer pejabat Prof Aziz Bari sendiri difahamkan ditarik dan pelbagai sekatan lain yang dikenakan kepada beliau. Pastinya ini tidak kundusif untuk meneruskan kuliah pengajian.

Hal ini tidak seharusnya berlaku. Isu ini bukan sahaja melibatkan individu, pensyarah undang-undang universiti yang mengeluarkan pandangan tidak sealiran pemerintah, tetapi ini adalah isu yang melibatkan kebebasan akademik yang menjamin kualiti pendidikan dan masa depan generasi muda Negara.

Diakhirnya, Angkatan Muda Keadilan Selangor memandang serius sikap bermain-main pemerintah UMNO-Barisan Nasional di dalam mengendalikan isu ini. AMK Selangor mendesak agar segala sekatan dan tindakan kepada Profesor terkemuka undang-undang Negara, Dr Abdul Aziz Bari ditarik balik serta merta.

MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI
Ketua Penerangan,
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Merangkap,
Pengarah Biro Mahasiswa,
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

 
TouchUp by MohdSyahiran | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Eagle Belt Buckles